Apabila berpeluang merasai Ferrari GTC4Lusso, penulis sememangnya kagum dengan reka bentuknya yang versatil selain deruman enjinnya yang garang. Dua perkara ini akan menjadi perhatian utama saat kenderaan itu melintasi anda di jalan raya.

Dibawa masuk ke Malaysia oleh Naza Italia sekitar suku pertama tahun lalu, GTC4Lusso membawakan inovasi baharu Ferrari yang bukan sahaja untuk pemanduan berprestasi tinggi di hujung minggu, tetapi juga sesuai untuk kegunaan harian.

Paling menarik, GTC4Lusso ini berkonsepkan Grand Tourer. Ferrari sebenarnya berjaya membawakan sebuah jentera berkuasa tinggi dengan keselesaan optimum yang mampu digunakan dalam pelbagai situasi berbeza.

Sebagai jentera empat tempat duduk Ferrari pertama di Malaysia, kenderaan itu memberi peluang kepada lebih penum­pang untuk mengalami sendiri kemewahannya. Ini kerana, sebahagian besar model jenama itu hadir dengan hanya dua tempat duduk.

Jika dilihat sekali imbas, mungkin ramai akan tertanya-tanya mengapa reka bentuk GTC4Lusso ini mirip Ferrari FF. Ia sememangnya versi facelift bagi FF namun nama kedua-dua model itu jauh berbeza.

Menurut Ferrari, nama GTC4Lusso yang unik berkenaan merujuk kepada hasil gabungan beberapa modelnya yang terdahulu termasuk 330 GTC, 330 GT serta 250 GT Berlinetta Lusso.

Cara pemanduan jentera ini mungkin sedikit janggal bagi mereka yang kurang biasa. Ini kera­na, semua fungsinya terletak pada stereng. Tiada sebarang tuil disertakan kerana penukaran gear hanya melalui pedal di belakang stereng.

Ini memudahkan pengguna untuk mengendalikan tanpa perlu mengalihkan tangan daripada stereng, seperti mana pelumba Formula 1 (F1) mengemudi jentera berkuasa tinggi semasa perlumbaan.

Selain itu, kuasanya pula tidak dapat dinafikan kerana terjahan enjin V12 dalam GTC4Lusso mampu menghasilkan kuasa maksimum 690cv, sekali gus menjadikannya kenderaan pa­ling berkuasa dalam segmennya.

GTC4Lusso ini mampu memecut dalam keadaan pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 3.4 saat dan 200 km/j dalam 10.5 saat. Ia mempunyai kelajuan maksimum 335 km/j.

Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear transmisi klac berkembar tujuh kelajuan DCT F1, membolehkannya mencapai kuasa maksimum 690cv pada 8,000rpm dan kuasa kilas 697nm pada 5,750rpm.

Klac berkembar ini menjadikan penukaran gear semasa pemanduan lancar dan responsif. Sebagai contoh, jika anda sedang memandu pada gear tiga, jentera itu sebenarnya sudah bersedia untuk memasuki gear lebih rendah atau tinggi seterusnya.

Dengan berat keseluruhan 1,920 kilogram (kg), jentera ini juga boleh dikatakan agak cekap kerana menggunakan hanya 15.3 liter bahan api untuk setiap 100 kilometer (km) perjalanan.

GTC4Lusso ini istimewa kera­na dilengkapi sistem pacuan empat roda 4RM yang telah dirombak semula menjadi 4RM-S, selain sistem stereng semua roda. Ini bermakna, walaupun dengan kerangka badannya yang besar, adalah masih mudah untuk mengemudikannya.

Dari segi reka bentuk luaran, jelas Ferrari menumpukan kepada aspek aerodinamik. Ditambah dengan rekaan spoiler baharu di bahagian belakang menjadikannya tampak sangat garang.

Jika anda seorang yang mementingkan rupa yang menawan dan sporty, penulis percaya GTC4Lusso mampu membuatkan anda tersenyum hanya dengan melihat rekaan luarannya sahaja.

Bagi ruangan dalaman pula, perkataan yang paling sesuai untuk menggambarkannya adalah mewah dan selesa. Kemasan kulit dengan saiznya yang besar memberikan perasaan premium kepada pemandu mahupun penumpang.

Selain direka dengan dual cockpit, ia dilengkapi sistem infotainment baharu Ferrari de­ngan keupayaan definisi tinggi (HD) bersaiz 10.25 inci. Malah, terdapat juga paparan penum­pang di hadapan bersaiz 8.8 inci yang memaparkan status dan ­prestasi kereta selain memboleh­kan interaksi dengan sistem utama.

Di Malaysia, harga asas bagi GTC4Lusso adalah RM1.158 juta tanpa cukai, duti dan pilihan penyesuaian atau binaan khas bagi pembeli. Difahamkan, harga atas jalannya akan berlegar sekitar RM2.4 juta.

Walaupun dengan harganya yang tinggi, penulis percaya tag harga itu tidak akan menjadi masalah kepada peminat Ferrari yang mampu dengan mengambil kira pelbagai kelebihan yang ditawarkan model itu. Ia adalah pemilikan yang premium.