Sebelum berkecimpung da­lam dunia perniagaan, Sabrina yang berkelulusan Ijazah Teknologi Kejuruteraan dalam Pengurusan Perniagaan merupakan seorang blogger dan beliau sering berkongsi ulasan mengenai produk-produk kecantikan yang digunakan di laman blog miliknya.

Selepas beberapa tahun, Sabrina seakan terpanggil untuk menjadi usahawan selepas melihat potensi yang ada terutama bagi produk kosmetik dan kecantikan selain daripada memiliki

PASANGAN suami isteri, Sabrina Tajuddin dan Mohd Tawfiq Nasir mengasaskan Breena Beauty utusan/MOHD
PASANGAN suami isteri, Sabrina Tajuddin dan Mohd Tawfiq Nasir mengasaskan Breena Beauty  utusan/MOHD FARIZWAN HASBULLAH

pengikutnya tersendiri.

“Tidak dinafikan pengalaman menjadi blogger sejak 2011 memberi banyak peluang kepada saya membuat jaringan dengan beberapa orang yang terlibat dalam industri. Dari situ saya cuba kembangkan idea yang ada untuk melahirkan produk-produk di bawah jenama Breena Beauty,” katanya yang juga Pengasas dan Pengarah Kreatif Breena Beauty kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Breena Beauty yang diasaskan bersama suaminya, Mohd. Tawfiq Nasir pada 2014 menumpukan sepenuhnya terhadap produk kosmetik dan alat solek seperti berus muka dan berus mata serta span Blending Pearl yang merupakan antara produk paling laris.

Sabrina berkata, di awal penglibatannya dalam dunia keusahawanan, Breena Beauty menghasilkan satu produk sahaja iaitu berus face luxe brush’ yang dijual pada harga RM45 di laman web, www.breenabeauty.com

Penghasilan berus daripada bulu sintetik itu mendapat sambutan menggalakkan dan Sabrina ketika itu tidak menjangka sokongan yang diterima daripada pelanggan memberikan semangat baginya untuk terus mengeluarkan barisan produk yang berkualiti pada harga mampu milik.

“Breena Beauty kemudian berkembang menjadi satu jenama kosmetik pilihan terutama dalam kalangan ge­nerasi muda dan kami berhasrat mengembangkan lagi Breena Beauty ke negara luar,” katanya.

Bagi Mohd. Tawfiq pula, keutamaan Breena Beauty ketika ini adalah untuk memenuhi tempahan yang diterima daripada pelanggan dan memastikan stok mencukupi bagi setiap masa.

“Oleh demikian, kami sedang berusaha mencari mana-mana pihak yang berminat untuk melabur dalam perniagaan kecil kami. Ketika ini permintaan terhadap produk terutama Blending Pearl amat tinggi sehinggakan pada satu tahap pihak pengurusan berdepan dengan masalah stok yang tidak mencukupi di pasaran.

“Namun, hasil kerja keras pasukan Breena Beauty, kami akhirnya dapat mengatasi masalah tersebut dan syukur sehingga kini produk-produk kami terus mendapat tempat di pasaran tempatan dan ada di antaranya turut dipasarkan di luar negara,” katanya.

Ketika ini Breena Beauty mempunyai kios di pusat beli-belah MyTown; PlayUP Advance Store di Fahrenheit 88, Kuala Lumpur; Berjaya Time Square, Kuala Lumpur; Paradigm Mall, Johor Bahru dan Parkson/PlayUP Advance Store di IOI Mall, Putrajaya.