Yang Dipertuanya, Mohd. Fadzli Mustafa berkata, isu utama yang seharusnya diberikan perhatian oleh kerajaan ialah untuk memastikan kesinambungan usahawan Melayu serta bumiputera.

Katanya, pemegang-pemegang AP bukan bermaksud mahukan kelebihan atau keistimewaan tetapi hanya menuntut kesamarataan daripada dasar atau polisi perdagangan bebas dilaksanakan kerajaan.

“Polisi yang dilaksanakan perlu memberi manfaat kepada industri, sama ada francais atau terpakai. Begitu juga dengan pemegang AP, kami mahu polisi sama diterapkan, supaya manfaatnya sama rata,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Mohd. Fadzli, pemain-pemain industri Melayu dan bumiputera terutamanya dalam kalangan usahawan muda yang baru menerima AP berhadapan dengan masalah berikutan ketidaksamarataan ini.

Katanya, untuk usahawan muda memiliki AP, sekurang-kurangnya memerlukan modal sebanyak RM2 juta, sama ada melalui pinjaman atau simpanan, tetapi kekangan daripada polisi yang tidak sama rata boleh memberi kesan negatif kepada pembangunan mereka.

“Kekangan tersebut boleh buatkan mereka 'jatuh’. Apabila 'jatuh’, akan beri kesan kepada bangsa, kerugian kepada negara.

“Secara tidak langsung, hasrat kerajaan untuk mengimarahkan lagi industri dengan penyertaan usahawan Melayu serta bumiputera bukan sahaja terbantut, malah mewujudkan masalah lebih besar, sedangkan tujuan tidak tercapai,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Mohd. Fadzli memberitahu, apabila berlakunya perkara seumpama itu akibat daripada polisi yang tidak sama-rata boleh menyebabkan spektrum rantaian reaksi lebih besar.

Jelas beliau, kerajaan perlu pastikan keseluruhan sistem serta polisi yang dilaksanakan adalah kondusif, supaya hasrat untuk melihat usahawan Melayu serta bumiputera terus berkembang bukan sahaja dalam sektor automotif, tetapi juga cabang perniagaan lain.

“Kami amat memandang berat isu ini dan berharap pendekatan serta polisi yang dilaksana mempunyai aspirasi jelas untuk membantu usahawan Melayu bumiputera.

“Kerajaan perlu pastikan keseluruhan sistem kondusif kepada iklim terlibat, jika tidak, kita akan hadapi masalah. Kami hanya mahu mengekalkan perniagaan yang diceburi, kami tidak minta lebih, hanya saksama sahaja, lagi pun pemegang AP hanya libatkan enam peratus sahaja dalam industri,” ujar beliau.