Pengarah Urusan HMSM, Ken Iwamoto berkata, pihaknya dan DMSB mula menjalin kerjasama sebagai wakil jualan dan selepas jualan pada 2010 dan kini memiliki lapan cawangan dan enam pusat servis bertauliah di seluruh negara.

Kata beliau, pembukaan pe­jabat baharu bukan sahaja direka bagi meningkatkan kecekapan untuk semua jabatan malah ia juga mencerminkan inovasi DMSB yang fokus dalam memberi perkhidmatan kepada pelanggan.

“Inisiatif ini membawa kepada pembangunan organisasi yang lebih kukuh dengan persekitaran tempat kerja baharu. Pejabat lama menempatkan jabatan jualan dan servis di dua lokasi yang berbeza.

“Infrastruktur baharu ini mempunyai keluasan 7,891 meter persegi berperanan sebagai pejabat dan pusat sehenti. Selain itu, pusat 3S ini dilengkapi 11 kawasan membaiki dan tiga buah alat pengangkat,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu termasuk Pengarah Strategi Perniagaan HMSM, Toshihiko Takeda; Pengarah Eksekutif HMSM, Datuk Johnny Chan dan Pengurus Besar DMSB, Arman Mahadi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif DMSB, Makoto Ogawa berkata, bilik pameran baharu itu bukan sahaja membantu dalam meningkatkan jumlah jualan, malah turut meningkatkan pengalaman pelanggan.

Menurutnya, antara faktor yang diberi pertimbangan apabila membuka cawangan baharu adalah meletakkan jabatan jualan dan selepas jualan di bawah satu bumbung bagi membentuk pusat 3S yang komprehensif.

Katanya, mereka komited untuk me­nguatkan perkhidmatan kepada pelanggan melalui penawaran produk berkualiti dan servis terbaik. Pusat 3S ini mengamalkan budaya penambahbaikan berterusan iaitu Kaizen.

“Ambilan servis bulanan kami meningkat dua kali ganda dan terdapat pertambahan dalam hasil susulan pelaksanaan Kaizen sejak Ogos lalu,” ujarnya.

HABIS...