Naib Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan LNG Malaysia, Dzafri Sham Ahmad berkata, dari 2010 hingga tahun ini sahaja, Petronas dan anak syarikat membelanjakan lebih RM27 juta bagi melaksanakan lebih 100 projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) di negeri ini.

Katanya, perbelanjaan itu termasuk penubuhan Projek Biodiversiti, Alam Sekitar dan Pemuliharaan (Beacon) di Taman Negara Similajau sebanyak Rm10 juta dan sumbangan RM5 juta bagi transformasi Kem Piasau, Miri kepada Hutan Simpan Piasau.

“Bergerak ke hadapan, Petronas menyatakan komitmen untuk menyumbang RM470 juta (2015-2019) dalam CSR, pembangunan sumber manusia dan pendidikan.

“Malah pada malam ini, Malaysia LNG Sdn. Bhd. (MLNG) menyumbang RM1.5 juta bagi Unit Melecur di Hospital Bintulu yang akan siap tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Malam Media Petronas 2015 di sini semalam.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zulkifli Jantan; Pengarah Jabatan Penerangan, Abang Sardon Abang Hashim; Pengarah Hospital Bintulu, Dr. Davis Johnraj dan Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif KNG 9 Sdn. Bhd., Pandi Othman.

Mengulas lanjut beliau berkata, sumbangan sosioekonomi sebegitu merupakan bukti komitmen Petronas memastikan Sarawak dan penduduknya terus mendapat manfaat secara langsung dan tidak langsung daripada industri minyak dan gas di sini.

“Kami mahu memberikan lebih lagi, bagaimanapun dengan keadaan merudum industri minyak dan gas kini dengan harga minyak AS$40 (RM172) setong ber-
banding AS$115 (RM495) setong tahun lalu.

“Beberapa tahun akan datang pula lebih mencabar bagi industri dan kami berharap semua pihak termasuk rakan media tabah bersama kami di waktu sukar itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pelaburan bagi projek dan aktiviti sektor hiliran, pertengahan dan huluan Petronas di Sarawak adalah melebihi RM300 bilion setakat ini.