Ketua Pegawai Eksekutif CIDB, Datuk Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata, setakat November tahun ini, CIDB MyIBS Sdn. Bhd. telah melatih dan meningkatkan kemahiran masing-ma­sing seramai 3,684 pekerja, 7,496 kontraktor dan 4,053 profesional dalam pelaksanaan teknologi IBS.

“Kerjasama yang digariskan menerusi MoU ini akan melengkapkan lagi usaha yang dilaksanakan CIDB IBS bagi tujuan itu.

“Sany Construction dan CIDB bersetuju berkongsi maklumat, kepakaran maklumat dan teknologi berkaitan IBS selain bekerjasama dalam program pembangunan kapasiti di semua peringkat termasuk program kemahiran semula untuk pekerja agar bersedia dengan IBS,” katanya selepas majlis tersebut di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob; Timbalan Pengerusi CIDB MyIBS, Datuk Ir. Elias Ismail dan Pengarah Urusan Sany Construction Industry Development., Wang Zhenyi.

Menurut Ahmad ‘Asri, menerusi kerjasama itu, CIDB juga berharap dapat melihat lebih ramai pengeluar, pemasang dan kontraktor IBS di negara ini.

“Kami melihat sinergi dan hasrat antara kedua-dua pihak itu akan dapat memperluaskan matlamat Program Transformasi Industri Binaan (CITP) memajukan ekosistem IBS di Malaysia,” katanya.

CITP diperkenalkan oleh Kementerian Kerja Raya menerusi CIDB sebagai satu pelan komprehensif untuk mempertingkatkan sektor binaan yang bercirikan moden, produktif, mapan dan setanding standard global dari segi kualiti, keselamatan dan teknologi.

Ia turut membentuk bahagian penting Rancangan Malaysia ke-11 dengan aspirasi sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 selain me­nangani cabaran khusus dalam industri binaan.

Beliau turut menyifatkan kerjasama itu sebagai satu lagi langkah untuk mencapai sasaran CITP.

“Teras strategik ketiga Produktiviti dalam CITP itu adalah pelaksanaan IBS, baik dalam projek sektor awam dan swasta serta membangunkan rantaian bekalan IBS yang cemerlang di negara ini,” katanya. – BERNAMA