Pelan tindakan itu akan meliputi tempoh lima tahun mulai 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif CIDBEC, Rofizlan Ahmad berkata, pelan tindakan itu bertujuan menyediakan arah tuju yang jelas untuk penggiat industri, selain menyelaraskan program akan datang yang berkaitan IR 4.0, khususnya Model Maklumat Bangunan (BIM).

Beliau berkata, jawatankuasa khas telah dibentuk terdiri daripada pelbagai ahli bidang berkaitan iaitu Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia untuk Teknologi Tinggi (MIGHT), Institut Arkitek Malaysia (PAM) dan Institut Jurutera Malaysia (IEM).

“Jawatankuasa ini akan mengkaji status sektor pembinaan Malaysia dari segi tahap penerimaan BIM jika diban­dingkan dengan negara yang telah melaksanakannya, termasuk United Kingdom, Perancis, Brazil dan Mexico.

“Kajian mengenai penggunaan BIM dan rancangan masa depan untuk negara juga akan digariskan bagi meningkatkan penggunaan BIM dalam kala­ngan penggiat industri,” kata­nya kepada Bernama.

BIM ialah teknologi pemo­delan dan set proses yang berkaitan untuk menghasilkan, berkomunikasi, menganalisis dan menggunakan model maklumat digital sepanjang kitaran hayat projek pembinaan.

Rofizlan berkata, penggunaan BIM mampu menjimatkan 15 hingga 20 peratus masa pembinaan projek disebabkan tempoh perancangan yang lebih lama antara pelbagai pihak yang terlibat dalam peringkat reka bentuk.

Dalam perkembangan sama, menurutnya, pelan tindakan BIM juga akan menekankan penggunaan integrasi berasaskan awan untuk teknologi BIM, yang merupakan bentuk pene­rimaan tertinggi untuk BIM (akreditasi Aras 3).

“Dengan melibatkan semua petugas dalam platform berasaskan awan, antara lain akan meningkatkan keupayaan untuk audit analisis dan reka bentuk, kecekapan bagi penghasilan reka bentuk dan pemahaman yang lebih baik mengenai sesuatu projek pada peringkat awal,” katanya. – BERNAMA