Chatime sudah memasuki Malaysia sejak 2011 manakala Tealive diperkenalkan pada Februari 2017 susulan kontrak Loob Holding Sdn. Bhd. sebagai pemegang francais di Malaysia ditamatkan oleh La Kaffa International Co. Ltd. iaitu pemilik jenama Chatime.

Mengambil langkah mengatasi kekeliruan itu, anak syarikat Will Group, Chatime Malaysia Sdn. Bhd. pada 15 Mac lalu bertindak mengeluarkan surat tuntutan un­dang-undang terhadap Loob Holding kerana menyatakan jenama Chatime telah ditukar nama kepada Tealive.

Pengarah Urusan Chatime Malaysia, Aliza Ali berkata, laman web rasmi Loob Holding secara jelas menyiarkan dua tajuk iaitu ‘Chatime dinamakan semula sebagai Tealive’ dan ‘Tealive ganti Chatime’ selama hampir setahun, satu tempoh masa yang dirasakan agak lama dan cukup untuk mempengaruhi orang ramai.

Sehari selepas pengeluaran surat tuntutan itu, Loob Holding didapati menarik kembali dua tajuk yang dipersoalkan tersebut daripada laman web mereka. Walau bagaimanapun, Chatime Malaysia masih belum menerima maklum balas secara rasmi daripada Loob Holding.

“Kami mahu Tealive meminta maaf secara terbuka kepada para pelanggan Chatime Malaysia kerana mengelirukan mereka, Tealive harus bertindak memperbetulkan segala kekeliruan yang telah timbul berikutan kenyataan dan tindakan mereka.

“Orang ramai perlu tahu bahawa Chatime Malaysia tidak menjual minuman yang sama dengan Tealive. Kami menggunakan bahan-bahan berlainan, malah ke­dua-duanya adalah daripada dua entiti berlainan, tidak ada kena mengena sama sekali,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif Chatime Malaysia, Wi­dayu Latiff dan Pengarah Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr. Sirajuddin Suhaimee.

Terdahulu, Chatime Malaysia menerima sijil pengesahan halal daripada Jakim dalam usaha meningkatkan keyakinan para pelanggan dalam masa sama memenuhi kehendak orang ramai yang menitikberatkan status halal terhadap sesebuah produk.

Wi­dayu berkata, pihaknya amat yakin dengan sijil pengesahan halal Malaysia itu akan memberi impak positif kepada penjemaan Chatime seiring dengan rancangan peluasan jenama berserta peruntukan perbelanjaan modal (capex) bernilai RM100 juta bagi tempoh 2018-2022.

“Oleh itu, kami berharap untuk menyelesaikan isu kekeliruan yang timbul berikutan tindakan Loob Holding supaya dapat meneruskan rancangan kami untuk melebarkan sayap Chatime di Malaysia dan pasaran Singapura serta Asia Barat.

“Kami telah merangka pelan strategi untuk mengembangkan perniagaan tetapi isu kekeliruan ini telah menyebabkan kami membuang banyak masa bagi menyelesaikan isu berkenaan justeru pelan peluasan tersebut terpaksa ditangguhkan,” jelasnya.

Chatime Malaysia memiliki 30 cawangan di dalam negara dan merancang membuka lapan lagi cawangan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Sirajuddin ber­kata, usaha Chatime mendapatkan sijil halal Jakim harus dipuji kerana pensijilan tersebut mempunyai banyak manfaat khusus­nya kepada pengusaha makanan dan minuman.

Menurutnya, penggiat industri makanan dan minuman seharusnya merebut peluang untuk mendapatkan sijil halal kerana kini industri di luar negara juga bersaing untuk memohonnya.

“Sijil halal bukan semata-mata untuk mengesahkan sama ada makanan itu halal atau tidak, sebalik­nya merangkumi kualiti, kebersi­han dan tahap keselamatan,” katanya.