Pengarah Urusan Chatime Malaysia, Aliza Ali berkata, laman web rasmi Loob Holding secara jelas menyiarkan dua tajuk iaitu ‘Chatime dinamakan semula sebagai Tealive’ dan ‘Tealive ganti Chatime’.

Katanya, tindakan Loob Hol­ding itu telah mengelirukan orang ramai yang mana bercanggah dengan situasi sekarang bahawa Chatime masih berope­rasi di Malaysia di bawah pemegang lesen induk baharu, Will Group Sdn. Bhd.

“Kami telah memberikan me­reka tempoh yang lama iaitu satu tahun untuk memperbetulkan isu ini, malangnya laman web rasmi Loob Holding masih menyiarkan dua tajuk utama ber­kenaan.

“Tajuk itu masih ada sehingga Februari 2018, yang menyebabkan ramai orang mempercayai bahawa jenama Chatime sudah tiada,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pemilik jenama Chatime, La Kaffa International Co. Ltd. (La Kaffa) pada Mei 2017 telah melantik Will Group sebagai pemegang lesen induk Chatime Malaysia. Chatime Malaysia kini dimiliki sepenuhnya oleh Will Group.

Setahun selepas mengambil alih pasaran Chatime di Malaysia sebagai francaisi induk, Aliza berkata, pihaknya kini mengambil langkah yang perlu untuk melindungi jenama yang mungkin termasuk prosiding undang-undang.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Chatime Malaysia, Wi­dayu Latiff berkata, kenyataan yang mengelirukan daripada Loob Holding telah memberi impak kepada jenama Chatime.

“Kami berasa bertanggungjawab untuk menangani kekeliruan dan melindungi reputasi Chatime di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa,” tambahnya.

Situasi tegang ini semuanya bermula apabila Loob Holding mengumumkan untuk menje­namakan semula 165 cawangan Chatime di Malaysia sebelum 6 Mac selepas La Kaffa menamatkan perjanjian francaisnya pada 5 Januari 2017.

La Kaffa mendakwa pemegang francaisnya bagi pasaran Malaysia, Loob Holding menggunakan bahan mentah tidak diluluskan dan gagal membayar hutang tertunggak pada Februari 2017.

Menurut La Kaffa, Loob Hol­ding telah melanggar kontrak pemegang francais apabila menggunakan bekalan bahan mentah berbeza daripada resipi asal tanpa menerima kelulusan daripada La Kaffa.

“La Kaffa me­ragui status halal bahan mentah yang digunakan oleh Loob Hol­ding termasuk serbuk teh dan serbuk koko selepas kedua-dua bahan tersebut tidak dibeli secara terus melalui La Kaffa sebagaimana termak­tub di dalam kontrak,” katanya.

Walau bagaima­napun, Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holdings, Bryan Loo menafikan semua dakwaan La Kaffa itu.

Perjanjian Loob dan La Kaffa sepatutnya berakhir pa­da 2041. Namun, ia telah ditamatkan ke­­rana terdapat perbezaan pendapat an­tara firma Taiwan itu dengan hala tuju perniagaan Chatime di Malaysia ketika itu.