Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Zamree Mohd. Ishak berkata, ini merupakan peningkatan ketara daripada RM3.7 bilion bagi pembiayaan dan jaminan yang diberikan kepada 9,000 PKS pada tahun lepas.

“Kami mempunyai skim khas untuk kontraktor bumiputera yang telah diberikan projek oleh kerajaan Persekutuan dan ne­geri serta syarikat milik kerajaan,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan ulang tahun ke-10 usaha sama CGC-Standard Chartered Malaysia untuk membiayai PKS.

Setakat ini beliau berkata, CGC telah membantu memberi 460,000 jaminan dan pembia­yaan kepada PKS dengan nilai lebih RM70 bilion.

Katanya, ini termasuk 102 bahagian di bawah portfolio skim jaminan (PG) berjumlah RM12.2 bilion yang memanfaatkan kira-kira 25,000 PKS dan enam bahagian di bawah skim jaminan borong (WG) bernilai RM1.5 bilion untuk 7,700 PKS.

“Secara keseluruhannya, CGC telah menyalurkan pembiayaan bernilai lebih RM13.7 bilion menerusi skim PG/WG kami secara usaha sama dengan 20 institusi kewangan dan tiga institusi pembangunan kewa­ngan kepada lebih 32,600 PKS,” katanya.

Bersempena dengan sambutan itu, Standard Chartered Malaysia dan cabang perbankan Islamnya, Standard Chartered Saadiq Malaysia menandatangani perjanjian portfolio jaminan dengan CGC bernilai RM85 juta.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Perniagaan CGC, Leong Weng Choong, Ke­tua Perbankan Peruncitan Standard Chartered Malaysia, Lai Pei Si dan Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Peruncitan Standard Chartered Saadiq, Mohd. Suhaimi Abdul Hamid.

Majlis itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah, Pe­ngarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Abrar A. Anwar dan Mohd. Zamree.

Abrar, berkata skim pembia­yaan itu akan disalurkan dalam dua bahagian.

“Standard Chartered Malaysia memberikan komitmen RM75 juta bagi pembangunan PKS tempatan manakala Stan­dard Chartered Saadiq memberi komitmen RM10 juta khusus untuk menyediakan pembiayaan modal kerja kepada usahawan wanita di bawah skim dikenali WOWnita,” katanya. – BERNAMA