InvestKL berkata, Zainal merupakan CEO pertama yang dilantik pada 2011 dan telah berkhidmat selama lapan tahun kepada InvestKL.

Katanya, susulan peletakan jawatan itu, Pengarah Perhubungan Pelabur bagi Rantau Eropah, Muhammad Azmi Zulkifli akan menyandang jawatan Pemangku CEO berkuatkuasa 1 Julai 2019.

“Sepanjang tempoh perkhidmatan Zainal di InvestKL, ia telah berjaya menarik 80 syarikat multinasional (MNC) setakat 31 Mei tahun ini menjadikan jumlah pelaburan komited dan diluluskan sebanyak RM12 bilion ke GreaterKL.

“Pelaburan ini juga telah mewujudkan lebih daripada 12,000 peluang pekerjaan serantau yang berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu Zainal berkata, Malaysia berada dalam kedudukan kukuh dengan persekitaran mesra perniagaan dan sumbernya untuk menarik pelaburan bernilai tinggi dan inovatif.

“Walaupun ketidaktentuan ekonomi global di tengah-tengah ketegangan perdagangan Amerika Syarikat dan China, pelaburan InvestKL kekal berdaya tahan,” katanya. -UTUSAN ONLINE