CBP yang dahulunya dikenali sebagai Co-opbank Persatuan kini sedang menjalani proses transformasi selepas Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Co-opbank Persatuan ke-59 pada 29 April 2018 telah meluluskan pindaan Undang-Undang Kecil (UUK) CBP yang melibatkan pertukaran nama CBP daripada Koperasi Co-opbank Persatuan Malaysia Bhd. kepada Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Berhad. 

Cadangan pindaan UUK CBP serta pertukaran nama tersebut telah diluluskan oleh pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia pada 13 September 2018.

Wartawan Utusan Malaysia, Nabila Yasmin Razib mendapatkan Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Mohd. Nor Abd. Razak untuk mengetahui dengan lebih lanjut hala tuju baharu CBP.

UTUSAN: Berapakah jumlah anggota CBP ketika ini dan adakah CBP meletakkan sebarang sasaran dari segi keanggotaan?

Mohd. Nor Abd. Razak: Kami tidak meletakkan sebarang sasaran bagi keanggotaan, tetapi kalau boleh saya mahukan lebih ramai orang berdaftar dengan CBP.

Kita dapat lihat terdapat penambahan hampir 6,000 anggota individu dan lebih 80 koperasi menjadikan jumlah keseluruhan pada tahun 2018 sebanyak 85,041 keanggotaan. Keyakinan para pelabur terhadap prestasi perniagaan CBP serta produk dan perkhidmatan yang ditawarkan mendorong kepada peningkatan jumlah anggota CBP.

Berapakah jumlah pembia­yaan yang diperuntukkan bagi portfolio peribadi dan koperasi untuk tahun 2019?

Kami memperuntukkan RM700 juta bagi portfolio pembiayaan peribadi dan pembiayaan koperasi sehingga 2020 dan peruntukan ini tidak hanya terhad kepada kemudahan peribadi sahaja malah ia meliputi lima kemudahan yang ditawarkan iaitu pembiayaan hartanah, pembia­yaan berjangka, pembiayaan penyambung, pembiayaan i-factoring serta pembiayaan i-kontrak.

Ketika ini nisbah pembiayaan peribadi dan koperasi CBP ma­sing-masing adalah 90 peratus dan 10 peratus. Kami me­nyasarkan untuk me­ningkatkan pembia­yaan sektor koperasi kepada 30 peratus menjelang akhir 2020.

Adakah CBP akan memperke­nalkan sebarang produk dan perkhidmatan baharu dalam usaha untuk mengukuhkan kehadirannya di pasaran?

CBP bakal memperkenalkan lima produk pembiayaan khusus kepada koperasi terpilih di negara ini bagi membolehkan mereka mengembangkan perniagaan masing-masing.

Pengenalan produk di bawah Skim Pembiayaan Sektor Koperasi - Membangun Bersama CBP itu adalah sejajar dengan sasaran bank untuk meningkatkan portfolio pembiayaan sektor koperasi kepada 30 peratus daripada keseluruhan portfolio pembiayaan menjelang 2020.

Apakah syarat-syarat yang perlu dipatuhi pemohon untuk menerima pembiayaan daripada CBP?

Kami akan meneliti terlebih dahulu permohonan koperasi bagi memastikan mereka layak berdasarkan syarat ditetapkan termasuk memiliki prestasi dan profil kredit yang baik di sam­ping perlu mendapatkan kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

CBP merekodkan prestasi kewangan yang memberangsangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bagaimana jangkaan pulangan dividen CBP bagi tahun 2019 dan tahun-tahun akan datang?

CBP menya­sarkan bayaran dividen pada kadar 10.5 peratus bagi tahun kewangan 2019 berbanding jangkaan 9.5 peratus pada tahun 2018.

Kami yakin kadar dividen 10.5 pe­ratus itu mampu dicapai sekiranya unjuran prestasi perniagaan CBP meningkat kepada 70 peratus dari 2018.

Meskipun ia sukar ter­uta­manya dalam keadaan eko­nomi tidak menentu ini, namun saya yakin ia boleh dicapai berdasarkan peningkatan prestasi perniagaan tahun lalu.

Dengan peningkatan 70 peratus kita yakin CBP akan menjana keuntungan sebanyak RM82 ju­ta yang secara langsung dapat memberikan pulangan dividen lebih tinggi berbanding tahun-ta­hun sebelumnya.