Pengerusinya, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata, pencapaian suku pertama menunjukkan Pharmaniaga terus menjana nilai untuk pemegang saham walaupun dalam keadaan pasaran yang sukar.

Katanya, ini berasaskan sumbangan kukuh daripada segmen perniagaan syarikat khususnya sektor perniagaan swasta yang mencatatkan pertumbuhan mantap dan usaha pengendalian operasi yang cemerlang dan langkah pengawalan kos yang efisien.

“Secara keseluruhan, kumpulan berada di landasan tepat selari de­ngan strategi perniagaan iaitu pertumbuhan yang didorong oleh pasaran dan penambahbaikan ope­ra­­si secara berterusan serta memberi tumpuan memanfaatkan peluang dalam pasaran domestik dan antarabangsa menerusi tawaran produk baharu dipacu oleh usaha penyelidikan dan pembangunan.

“Di samping itu, kami juga me­laksanakan inisiatif untuk mempertingkatkan rantaian nilai operasi bagi memberi impak positif dan me­ngoptimumkan kos dan produktiviti. Kami yakin menerusi strategi dua hala ini, ia membolehkan kami memanfaatkan prospek cerah dalam sektor penjagaan kesihatan dan mengekalkan momentum,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bahagian logistik dan pengeda­ran mencatat prestasi lebih baik de­ngan untung sebelum cukai sebanyak RM10 juta berbanding RM2 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya yang dicapai dengan perbelanjaan pemasaran dan promosi yang lebih bertumpu.

Bagi bahagian pengilangan pula, ia merekod­kan untung sebelum cukai sebanyak RM20 juta, sedikit rendah daripada RM26 juta yang dilaporkan pada tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan oleh permintaan lebih rendah di bawah perniagaan konsesi dan juga perbe­lanjaan penyelidikan dan pemba­ngunan yang lebih tinggi.

Sementara itu, bahagian Indonesia mencatatkan defisit RM400,000 disebabkan oleh penyusutan nilai ringgit berbanding rupiah Indonesia dan peningkatan kos kewangan.