Perjanjian itu mencerminkan komitmen syarikat pelaburan untuk melabur dalam sektor pajakan pesawat global susulan permintaan yang semakin me­ningkat terhadap penerbangan tambang murah selain pertambahan trafik penumpang.

Bagi AirAsia, perjanjian tersebut memberi peluang kepada syarikat itu untuk fokus kepada digital dengan aset yang sedikit. Syarikat penerbangan bajet terbesar di Asia itu menjadi antara pelanggan Airbus terbesar apabila menempah beratus-ratus pesawat Airbus SE.

Castlelake merupakan se­buah dana global yang memberi tumpuan kepada pelaburan alternatif mula melibatkan diri dalam aset-aset penerbangan. Pada Jun tahun lalu, Castlelake berjaya mengumpul dana sebanyak AS$1 bilion (RM4.18 bilion) daripada para pelabur.

“Castlelake sedang berkembang dengan pesat dan mengintai peluang untuk mem­­­beli aset-aset penerbangan. Perjanjian ini merupakan urusan yang terbesar di Asia bersama sebuah syarikat penerbangan.

“AirAsia dan Castlelake dijangka memuktamadkan urusan tersebut dalam tempoh beberapa minggu lagi,” katanya.

Pada awal tahun ini, AirAsia bersetuju untuk menjual sebahagian daripada portfolio pajakan pesawatnya secara berpe­ringkat sebanyak AS$1.2 bilion (RM5.02 bilion) kepada firma yang diuruskan BBAM Ltd. iaitu antara pengurus portfolio pesawat terbesar di dunia.

Anak syarikat pajakannya, Asia Aviation Capital menguruskan pesawat AirAsia.

Castlelake berada di kedudukan ke-32 sebagai pemajak terbesar dengan nilai keseluruhan armada pesawatnya bernilai AS$2.1 bilion (RM8.78 bilion) setakat September lalu.

AerCap Holdings NV dan GE Capital Aviation Services mendominasi industri pajakan, namun bahagian pengurus aset dan dana telah meningkat secara berperingkat. – REUTERS