Ini merupakan satu jalan pintas untuk memperoleh keuntungan dalam pelaburan saham yang dibuat. Dengan cara ini pelabur dan pedagang saham baharu tidak perlu melakukan perkara-perkara berikut:-

1 Menghabiskan banyak wang menghadiri kelas atau ceramah saham.

2 Bersusah-payah untuk membuat analisis 
saham.

3 Menghabiskan masa perjalanan meng­ha­diri ceramah saham.

4 Meluangkan banyak masa untuk membaca atau mengikuti perkembangan atau berita pasaran.

5 Memperuntukkan banyak masa melihat pergerakan turun naik pasaran.

Tanpa perlu membuat kajian saham, mereka merasakan adalah satu tindakan yang bijak dengan membayar upah kepada orang lain untuk membuat analisis saham dan memberi mereka senarai kaunter-kaun­ter berpotensi. Cara begini te­lah menjimatkan masa mereka dalam membuat kajian saham.

Juga, mengikuti saranan membeli ini lebih mudah kera­na sesetengah orang masih tidak mahir meramal turun naik pasaran apa lagi untuk memilih saham-saham berpotensi. Juste­ru, mereka sanggup membayar perkhidmatan pihak ketiga untuk memberikan senarai saham-saham berpotensi atau de­ngan kata lain memberi saranan membeli saham-saham tertentu.

Sungguhpun pelabur dan pedagang saham tersebut kadang-kala tidak dapat membuat keuntungan malahan pula membuat kerugian setelah mengikuti saranan-saranan membeli ini, mereka sesekali tidak akan menyalahkan pihak-pihak yang memberi petua saham itu.

Ini disebabkan mereka awal-awal lagi menerima hakikat bahawa pelaburan saham ini tidak menjanjikan 100 peratus keuntungan apabila seseorang itu memasuki pasaran. Maka, sekiranya mereka mengalami kerugian dengan menyertai sesuatu kumpulan saham di media sosial, mereka akan terus mencari dan menyertai kumpulan yang lain pula.

Terdapat banyak kumpulan saham media sosial ini sama ada penyertaannya percuma mahupun berbayar.

Selain daripada itu, keba­nyakan pelabur dan pedagang saham baharu beranggapan bahawa melabur saham itu mudah. Terlalu mudah dan tidak memerlukan modal yang ba­nyak seperti yang dicanangkan oleh sesetengah orang. Walaupun pelabur boleh membeli saham dengan modal yang kecil, kadang-kala ia tidak praktikal tatkala pasaran mengalami ali­ran menurun yang lama.

Ini disebabkan pelabur terpaksa menunggu lama untuk harga saham bergerak naik. Selain daripada itu, modal yang terlalu kecil contohnya kurang RM500 agak sukar untuk membuat pemilihan saham yang ingin dibeli.

Apabila modal terlalu kecil dan pasaran mengalami ali­ran menurun yang panjang, pelabur tidak berpeluang untuk membeli saham lain yang lebih berpotensi atau untuk melakukan strategi averaging down.

Dengan mempunyai modal yang terlalu kecil, kebiasaan­nya pelabur dan pedagang newbie ini cenderung untuk membeli saham-saham yang harganya terlalu murah. Sesetengah pelabur dan pedagang saham baharu tidak mempunyai pengetahuan asas tentang pasaran. Mereka membeli saham-saham yang hampir tamat tempoh penyenaraian atau saham yang berisiko.

Contohnya, mereka membeli waran yang hampir tamat tempoh matang, membeli saham berstruktur tanpa menge­tahui formula pengiraan atau membeli saham bertanda yang telah diisytiharkan akan tamat tempoh penyenaraian di papan Bursa Malaysia. Akibatnya, tindakan ini menjurus kepada kerugian yang sepatutnya boleh dielakkan.

Pelabur dan pedagang saham baharu juga beranggapan bahawa apabila mereka membeli sesuatu saham syarikat sama ada untuk tempoh pegangan yang singkat atau panjang, saham yang dibeli itu akan terus naik sejurus mereka membeli. Perkataan melabur itu sendiri memberi gambaran bahawa beli dan simpan dan harga akan naik seterusnya memberikan hasil.

Juga, terdapat sesetengah­nya yang tidak boleh menerima hakikat harga saham jatuh atau pasaran akan melalui aliran menurun. Ramai orang akan menjadi marah dan beremosi apabila membicarakan tentang kejatuhan pasaran saham.

Dari segi strategi untuk menarik minat orang ramai menceburi bidang pelaburan saham, pengiklanan yang menjanjikan keuntungan atau memberi harapan kepada orang ramai lebih digemari berbanding pengiklanan yang memberitahu risiko-risiko atau menceritakan tentang kejatuhan pasaran saham.

Faktor menyumbang kepada kerugian di dalam pelaburan ialah apabila seseorang pelabur dan pedagang saham itu tidak mempunyai penasihat atau mendapat bimbingan yang lama dalam membuat pelaburan atau urus niaga saham.

Pelabur dan pedagang saham baharu perlu dibimbing dan diberi panduan apabila pertama kali menceburi bidang saham untuk mengelakkan mereka membuat kesilapan dalam pelaburan.

Kepada pembaca yang ingin mempelajari tentang pelaburan dan pedagang saham di Kuala Lumpur dan Ipoh, Perak boleh hubungi talian 013-3108156.