Menurut syarikat itu, kontrak dengan kerjasama kerajaan Malaysia dan China tersebut diluluskan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) menerusi rundingan terus dengan rakan kongsi perkapalan dari China.

“Ia akan dilaksanakan untuk tempoh empat tahun, berkuat kuasa bermula dari tarikh menandatangani surat persetujuan oleh BNS pada 17 Mac lalu,” kata BHIC dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

BHIC dan BNS merupakan kumpulan perindustrian di Malaysia yang mengkhususkan dalam pembinaan kapal tentera laut, kapal perdagangan dan perkhidmatan berkaitan kapal.

Teras utama perniagaan kedua-dua syarikat ini adalah dalam pembinaan kapal, fabrikasi struktur luar pesisir serta membaiki dan menyelenggara kapal dan peralatannya.

Jelas kenyataan itu lagi, dua unit pertama LMS terbabit akan direka, dibina dan dihantar di China pada tahun 2019 dan 2020, manakala baki dua lagi kapal akan dibina dan dihantar di Malaysia pada tahun 2021.

“Kontrak itu akan memberi kesan positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, serta akan menyumbang secara positif kepada pendapatan syarikat pada masa depan.

“Tiada pengarah, pemegang saham utama syarikat atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai apa-apa kepenti­ngan, secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak ini,” kata BHIC.