Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Boost, Christopher Tiffin berkata, untuk membina ekosistem pembayaran tanpa tunai yang mampan syarikat memerlukan rakan kerjasama yang dapat berkongsi kepakaran dan teknologi bagi memacu pertumbuhan Boost dalam industri e-dompet tempatan.

Menurut beliau, tumpuan penuh akan diberikan kepada pasaran tempatan memandangkan masih banyak ruang yang boleh diperbaiki dan ditambah baik sebelum memasuki peringkat antarabangsa.

"Kami memerlukan rakan untuk berkembang lebih jauh. Apa yang penting ketika ini adalah untuk memperbanyakkan lagi infrastruktur pembayaran tanpa tunai di Malaysia dan pada masa sama akan melihat potensi serta pilihan yang ada untuk ke luar negara.

"Kerjasama dengan UPI membolehkan kami untuk menyediakan perkhidmatan yang relevan kepada rakan dagang dan pelanggan untuk pasaran tempatan mahupun antarabangsa. Selain itu, ia juga akan meluaskan lagi fungsi dan kebolehgunaan Boost kepada golongan sasar," katanya dalam majlis menandatangani perjanjian memorandum persefahaman (MoU) antara Boost dan UPI di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Besar UPI Asia Tenggara, Wenhui Yang, CEO Axiata Digital Services, Mohd. Khairil Abdullah dan Pengarah Produk UPI, Shuan Ghaidan.

Terdahulu, Boost yang diwakili oleh Tiffin sementara Yang mewakili UPI menandatangani MoU dengan disaksikan oleh Khairil dan Ghaidan.

Sementara itu, Mohd. Khairil berkata, pertambahan bilangan penyedia perkhidmatan pembayaran tanpa tunai di Malaysia akan mewujudkan ekosistem yang baik di samping merancakkan penggunaan teknologi itu secara meluas.

Katanya, walaupun persaingan dilihat semakin sengit namun ia sebenarnya tidak menjejaskan penyedia perkhidmatan kerana peluang dalam segmen pembayaran tanpa tunai sangat luas untuk diteroka.

"Pada masa depan mungkin terdapat lebih daripada 30 buah syarikat dalam industri ini dan saya yakin peraturan di Malaysia tidak akan membenarkan satu atau dua pihak sahaja yang akan menjadi dominan dalam pasaran. Apabila pasaran semakin berkembang lebih mudah untuk mendidik masyarakat menggunakan perkhidmatan ini secara aktif," ujarnya. - UTUSAN