Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl berkata, edisi BMW M Performance hanya menawarkan 300 unit bagi setiap model berkenaan.

“Kedua-dua model ini digemari oleh peminat kenderaan telah dipilih melalui proses yang teliti dan didatangkan dengan komponen BMW M Performance yang tercipta hasil daripada inspirasi sukan permotoran.

“Menerusi ciri-ciri dinamik yang sempurna dan visual yang menawan, pemilik ken­deraan ini boleh mengalami keterujaan pemanduan dari dua dunia berbeza,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dengan kit aerodinamik M Performance yang diguna pakai dalam model-model Hibrid Elektrik Plug-in yang terlaris, edisi BMW M Performance terdiri daripada jentera BMW 330e dan BMW X5 xDrive40e telah ditransformasi de­ngan kelebihan atletik, digan­dingkan dengan dinamik pemanduan BMW terbaik dan prestasi cemerlang.

BMW 3 Series Hybrid yang ditambah baik itu juga didatangkan dengan Teknologi eDrive dan kini tampil dengan aerodinamik serta estetika yang lebih sporty.

Ia merangkumi komponen M Performance seperti skirt sisi, kerajang ambang sisi (side sill foils) dan jeriji hadapan dalam warna glos hitam serta pelitup cermin sisi ‘M Performance Carbon’ yang ringan.

Jentera itu juga dilengkapi dengan pemasangan kit di bahagian hadapan dalam warna ‘Matt Black’, spoiler belakang dan peresap (diffuser) belakang, di samping lampu belakang M Performance yang gelap dan agresif untuk menambahkan keterampilan mo­del berkenaan.

BMW 330e Edisi M Performance didatangkan dalam empat pilihan warna oren (Sunset Orange), hitam (Black Sapphire), biru (Estoril Blue) atau putih (Alpine White); sementara ruang dalaman dipadankan dengan material Kulit ‘Black Dakota’.

“Harga jualan di atas jalan tanpa insurans bagi BMW 330e Edisi M Performance adalah RM258,800 dan model ini boleh dimiliki dengan pelan ansuran bulanan bermula daripada RM3,278 manakala bagi BMW X5 xDrive40e Edisi M Performance ia ditawarkan pada harga RM390,800atau ansuran bulanan bermula RM4,878,” katanya.