Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, setakat hari ini dana nasional itu belum berunding dengan mana-mana pihak.

“Buat masa ini kami belum lagi berbincang dengan sesiapa. Ia hanya akan dilaksana sekiranya pada harga yang betul.

“Kami akan mempertimbangkan tawaran jika ada, yang bakal membolehkan menjana pendapatan bagi pelaburan lain,” katanya mengulas mengenai laporan berita bahawa dana nasional itu sedang menimbang menjual pegangannya dalam Legoland Malaysia.

Terdahulu, beliau membentangkan Ulasan Tahunan Khazanah 2019 (KAR 2019) di sini hari ini.

Beliau berkata, Legoland Malaysia mencapai kejayaan besar dengan pendapatan sebelum faedah, cukai, pelunasan dan susut nilai yang tinggi dan pendapatan yang positif.

Memetik laporan Bloomberg, sumber yang enggan dikenali itu berkata, taman tema itu mungkin bernilai sekitar RM1 bilion (AS$245 juta) termasuk hutang.

Legoland Malaysia yang terletak di Johor kini dimiliki oleh unit di bawah Khazanah dan dikendalikan oleh Merlin Entertainments Plc.

Ia adalah taman bertemakan Lego yang pertama di Asia di kawasan seluas lebih 50 padang bola sepak dengan lebih daripada 15,000 model Lego yang diperbuat daripada lebih 60 juta kepingan Lego.