Projek perumahan di atas ta­nah seluas 3.4 hektar itu merupakan projek pertama kumpulan BDB dan KHSB di luar Kedah.

Pengarah Urusan Kumpulan BDB, Datuk Izham Yusoff berkata, projek tersebut bakal me­nempatkan empat unit banglo dua tingkat seluas 4,004 kaki persegi, 20 unit rumah berkembar dua tingkat (3,197 kaki persegi) dan 60 unit rumah teres dua tingkat (1,539 kaki persegi).

Katanya, pembinaan kediaman berkenaan yang jualannya mula dibuka hari ini dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

“Projek perumahan ini penting bagi BDB kerana ia adalah projek pertama yang kita buat di luar negeri Kedah. Sebab kita memi­lih kawasan Kuala Kangsar adalah kerana dari segi harga tanah dan rumah, ia masih diperingkat mampu milik.

“Jika di negeri ini, projek perumahan banyak tertumpu di Lembah Kinta dan kita mengambil pendekatan berbeza dengan mencari kawasan baharu yang masih banyak peluang untuk dibangunkan seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri dan pelancaran Projek Perumahan Puncak Harmoni Kuala Kangsar di sini hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd. Yazid dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong, Datuk Mohamad Kamil Shafie.

Mengulas lanjut Izham berkata, lokasi projek yang terletak di kawasan bercerun itu dilihat bersesuaian bagi projek perumahan mewah berbanding rumah mampu milik.

“Apabila membuat perancangan perumahan, kita kena melihat apa yang sesuai bagi memaksimumkan dari segi pulangan. Di sini kawasan tanah bercerun dan kalau buat rumah mampu milik ia kurang sesuai berbanding rumah mewah.

“Bagaimanapun, kita cuba mencari tanah-tanah lain yang mungkin lebih sesuai untuk rumah mampu milik pada masa akan datang dan bukanlah kita datang ke Kuala Kangsar semata-mata untuk membuat rumah mewah sahaja,” katanya.

Projek perumahan yang menawarkan rumah banglo dua tingkat itu dilengkapi dengan lima bilik tidur, sebuah bilik belajar dan lima bilik air dengan harga minimum RM887,150 sebuah.

Bagi rumah berkembar dua tingkat pula mempunyai empat bilik tidur, sebuah bilik tidur kecil dan lima buah bilik air de­ngan harga minimum RM701,190 manakala empat bilik tidur dan tiga bilik air dengan harga minimum RM426,580 untuk rumah teres dua tingkat.

Puncak Harmoni dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas selain terletak berhampiran Kelab Golf Kuala Kangsar, perkhidmatan tren elektrik (ETS) di Stesen Kereta Api Kuala Kangsar dan Hospital Kuala Kangsar.