Dengan berlatar belakangkan jurusan mikrobiologi, Mohd. Ramdan, 33, menemukan cara baharu untuk membasmi kuman dengan menggunakan dua bahan utama mesra alam iaitu ekstrak aloe vera dan teh hijau.

Beliau kemudiannya menjalankan penyelidikan lanjut di bawah Program Pembangunan Usahawan Siswazah FRIM-MTDC (FMBiosis) selama tiga tahun sebelum berjaya menghasilkan produk Ciera pada 2012.

Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat, Mohd. Ramdan memberi jaminan bahawa produk dengan bahan semula jadi itu mampu membasmi kuman sehingga 99.9 peratus, seperti produk bahan kimia di pasaran.

“Tidak ramai tahu bahawa dua bahan yang mudah didapati sebagai ejen anti-bakteria dalam produk pencuci iaitu triklosan dan triklokarban sebenarnya menyebabkan risiko besar terhadap manusia dan alam sekitar.

“Jadi produk ini akan menjadi alternatif kepada orang ramai membunuh kuman seperti Manukah Honey, tetapi Ciera menggunakan aloe vera dan teh hijau,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Ciera kini boleh didapati di hampir semua pasar raya utama negara termasuk Jaya Grocer, Tesco, Aeon Big dan Giant.

“Dulu masa mula masuk pasar raya sangat mencabar sebab orang tak kenal, kedai pertama yang terima adalah Jaya Grocer kerana ketika itu ia dimiliki oleh rakyat Malaysia yang mahu tolong syarikat tempatan,” katanya.

Nature Produsion kini mengkomersialkan tiga jenama iaitu Ciera, Ciera Junior dan Ciera Pro dengan produk seperti pembersih dan spray pelbagai guna, cecair mandian dan pencuci tangan dan losyen.

Selain itu, syarikat itu juga baharu memperkenalkan produk penghalau serangga yang istimewa kerana ia tidak menggunakan ekstrak serai wangi seperti kebiasaan, tetapi bahan lain untuk menghalau serangga.

Mohd. Ramdan mengakui tahap kesedaran yang rendah terhadap produk mesra alam, selain harga produk yang menggunakan bahan kimia jauh lebih murah telah menjadi cabaran utama kepada perniagaannya.

“Kami berdepan pelbagai cabaran seperti saingan harga daripada pengeluar produk tulen (OEM), produk Ciera ini boleh dianggap dalam segmen premium, malah kita tiada kilang, jadi harganya mahal.

“Kadang-kadang kontraktor datang untuk ambil produk kita untuk tiga bulan sahaja, untuk dapatkan status banggunan hijau ketika audit, selepas itu mereka kembali guna produk kimia kerana harganya jauh lebih murah.

“Ada juga terjadi, bila kita letak barang di Tesco, dalam dua bulan lepas itu sudah ada satu produk lain yang serupa dengan produk kita, pembungkusan pun sama,” katanya.

Sebagai mengatasinya, Mohd. Ramdan menyertai program Sirim-Fraunhofer untuk memformulasikan semula produk Ciera bagi mengasingkan penggunaan orang awam dan industri supaya mampu untuk bersaing pada masa depan.