Naib Presiden dan Ketua Pe­ngurusan Kekayaan dan Perbankan Premium Bank Muamalat, Sarimah Bashah berkata, pihak­nya berharap dapat menarik 250 pelanggan menggunakan per­khid­matan baharu tersebut bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mac 2019.

Katanya, perkhidmatan itu juga terbuka kepada semua pelanggan beragama Islam dan bukan Islam dengan setakat ini hanya mempunyai 25 sahaja pelanggan.

“Kami berharap dapat melihat momentum yang lebih baik selepas ini memandangkan kami baru sahaja memulakan perkhid­matan baharu ini kepada para pelanggan premium kami,” katanya selepas majlis pelancaran Muamalat Beyond Premier Banking di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Bank Muamalat, Tan Sri Dr. Mohd. Munir Abdul Majid; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid; penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa.

Bank Muamalat merupakan ins­titusi perbankan Islam pertama di negara ini yang menyediakan perkhidmatan tersebut kepada para pelanggannnya. Ia menyaksikan entiti pertama Perbankan Premier Islamik ditawarkan di cawangannya di Ampang.

Perkhidmatan baharu itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Bank Muamalat untuk meningkatkan nilai tambah dengan menyediakan pe­ngalaman perbankan terbaik kepada para pelanggan dalam segmen premium.

Pelanggan Muamalat Beyond Premier Banking boleh menikmati kadar menarik bagi produk serta perkhidmatan kewangan dan bukan kewangan daripada pelaburan emas, kemudahan peribadi M-Cash dan perkhidmatan yang ditawarkan rakan korporat.

Menurut Sarimah, pihaknya menyasarkan saluran perbankan premium akan menyumbang 22 peratus kepada keseluruhan pendapatan bersih bagi segmen pe­ngurusan kekayaan apabila mencapai tahun kewangan penuh berakhir 31 Mac 2019.

“Bagi tahun kewangan semasa, kami mengunjurkan untuk mencapai pendapatan bersih bernilai RM13 juta, khusus bagi portfolio pengurusan kekayaan. Bagaimanapun, memandangkan kami baru sahaja bermula, sasaran ini dilihat bersesuaian buat masa ini,” katanya.