Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Perodua mahu meneroka segmen baharu dengan menawarkan sebuah kenderaan SUV peringkat permulaan yang berkualiti kepada rakyat Malaysia.

Menurut beliau, SUV baharu yang dibangunkan dengan kos sebanyak RM600 juta itu menggunakan 95 peratus komponen tempatan.

“Segmen SUV kini menjadi trend dan kenderaan pilihan pengguna global. Pembeli tertarik kepada gaya, keselesaan, posisi pemanduan yang tinggi serta ruang yang luas menjadikannya sesuai untuk semua golongan dan aktiviti.

“Rakyat Malaysia kini boleh menikmati pelbagai manfaat sebuah SUV dengan Aruz. Tambahan pula ia didatangkan de­ngan teknologi yang biasa terdapat pada SUV mewah sekali gus menjadikannya antara SUV dengan nilai terbaik di pasaran,” katanya dalam majlis pelancaran Perodua Aruz di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking; Duta Jepun ke Malaysia, Dr. Makio Miyagawa dan Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin.

Nama Aruz dipilih berdasarkan perkataan Bahasa Me­layu iaitu arus yang membawa maksud aliran. Arus merujuk kepada pergerakan dinamik yang sentiasa berterusan dan menunjukkan peningkatan serta menjadi simbolik kepada Aruz yang melambangkan anjakan gaya hidup.

Perodua Aruz dikeluarkan dalam dua varian iaitu 1.5X dan 1.5 Advance, masing-masing berharga RM72,900 dan RM77,900 sebuah tidak terma­suk insurans untuk Semenanjung Malaysia.

Aruz mendapat penarafan keselamatan lima bintang ASEAN NCAP dan dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan seperti Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Mula Daki (HSA), ISOFIX dan enam beg udara.

Jentera tersebut dikuasakan enjin empat silinder 1.5 liter blok aluminium dengan Dual VVT-i dan transmisi automatik yang dikawal secara elektronik (E-AT). Sistem melahu eko (Eco Idle) memberi kecekapan bahan api sehingga 15.6 kilometer/liter sekali gus membolehkan ia diiktiraf sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV).

Perodua menyasarkan jualan purata bulanan dan tahunan untuk Aruz, masing-masing sebanyak 2,500 buah dan 31,200 buah pada 2019.