Timbalan Presiden Pekema, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah berkata, selain dapat memastikan kereta yang dibeli yang seperti yang dijanjikan, AP-DVS juga dapat menawarkan sistem jaminan yang dahulunya hanya terdapat kepada kereta-kereta baharu sahaja.

Katanya, pemilik kereta terpakai ini sering dilabel sebagai 'pasaran kelabu’ iaitu perdagangan komoditi melalui saluran pengedaran yang sah dari segi undang-undang tetapi tidak diingini oleh pengeluar asal dan mereka ini tidak diterima untuk penyelenggaraan perkhidmatan selepas jualan seperti kereta baharu.

Oleh itu, dengan adanya sistem tersebut, perkara-perkara seperti itu dapat dielakkan dan sekaligus menambah keyakinan kepada pembeli kereta terpakai.

“Selain itu, sistem ini juga dapat menyenangkan semua pihak terutamanya jabatan-jabatan kerajaan yang berhubung dengan penjual dan pengimport kereta-kereta terpakai ini.

“Ini kerana mereka tidak perlu lagi meragui dokumen-dokumen yang dikemukakan terutamanya dalam urusan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Secara keseluruhannya, ia dapat membantu kerajaan untuk mengekalkan ketelusan dalam sistem percukaian yang selama ini mungkin diragui sama ada pembayaran yang dibuat adalah kurang dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Pekema Auto & Industri di sini baru-baru ini.

Sistem AP-DVS yang dilancarkan pada Ogos lalu bertujuan untuk melancarkan urusan pemegang AP untuk membawa masuk kenderaan import.

Dengan ada sistem ini,ia mampu untuk mempercepatkan urusan dan dari langkah permohonan dan sebagainya dari pihak-pihak yang berkepentingan seperti urusan dengan agensi-agensi kerajaan.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Bahagian Dokumentasi Pekema, Ally Azran Abd. Hamid berkata, sistem AP-DVS yang telah digunakan selama dua bulan tersebut berjaya mengurangkan manipulasi dalam dokumen-dokumen untuk membawa masuk kereta import terpakai.

Katanya, ini kerana sistem terbabit membolehkan mereka untuk memeriksa secara terus dari negara asal kereta import tersebut dibawa masuk bagi memastikan perkara-perkara yang dinyatakan dalam dokumen adalah sah.

“Sepanjang dua bulan sistem ini digunakan, kami dapat mengesan terdapat cubaan manipulasi dokumen. Sistem ini berjaya mengesannya dan kami telah menyekat daripada kereta-kereta ini dibawa masuk.

“Sebagai pembeli, mereka akan mendapat jaminan bahawa kereta import terpakai yang mereka beli dari ahli Pekema adalah kereta sah seperti yang dinyatakan dalam dokumen,” ujarnya.

Tambah beliau, Pekema mengambil masa kira-kira setahun dalam pembangunan dan penyelidikan (R&D) sebelum melancarkan sistem terbabit.