Ketika saya baru bermula dulu, umat Islam tidak ambil peduli bab pusaka ini kerana menurut mereka, “Faraidkan ada. Mati nanti faraid sahajalah!”. Bab wasiat dan hibah pula hampir langsung tidak difahami. Bayangkan betapa sukarnya hendak memahamkan masyarakat tentang isu ini yang sememangnya sangat kurang kesedaran.

Ketika itu saya bergerak di dalam masyarakat de­ngan membawa tajuk ceramah ‘Pusaka atau Puaka’ ke seluruh negara. Saya dimarahi masyarakat kerana kononnya istilah itu sensitif dan kasar. Saya menjelaskan bahawa maksud saya ialah harta yang dirancang dengan baik semasa hidup berkemungkinan besar menjadi ‘pusaka’ dan mudah diwariskan kepada waris dengan cepat.

Harta yang tidak dirancang ketika hidup, berkemungkinan besar akan menjadi ‘puaka’ yang menghantui waris-waris kerana masalah berpanjangan. Itu maksud ceramah saya. Walaupun sukar diterima masyarakat, saya tetap tegar bergerak di dalam industri ini kerana ia adalah fardu kifayah.

Hukum faraid

Alhamdulillah, bergerak 20 tahun ke hadapan dari 1998, hari ini masyarakat mulai memahami dengan baik apa kepentingan mereka merancang harta semasa hidup. Kes-kes perbalahan berkaitan pusaka yang banyak dilaporkan di media dan kewujudan semakin ramai penceramah yang menyebarkan ilmu ini, menyaksikan peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Antara harta anda menjadi ‘pusaka’ atau ‘puaka’, anda sebenarnya boleh membuat pilihan sekarang ketika masih hidup. Walaupun sudah ada peningkatan kesedaran namun ia hanya tinggal sebagai ke­sedaran tanpa tindakan kerana masih ramai lagi umat Islam yang memilih untuk membuta mata, mentuli telinga dan menutup hati daripada melihat kepen­tingan merancang harta semasa hidup.

Selain alasan kerana adanya hukum faraid, masyarakat juga sentiasa berfikir bahawa wa­ris-waris pasti tidak akan bermasalah dan berbalah tentang harta mereka. Andaian mereka ialah waris-waris akan sentiasa bermuafakat dan berkompromi.

Berikut huraian: Benar, hukum faraid ialah hukum yang diturunkan oleh Allah SWT untuk kita sebagai umatnya taat dan patuh. Tetapi, jika dilukis garisan mendatar dengan kematian sebagai titik permulaan dan pembahagian kepada waris sebagai titik pengakhiran, hukum faraid itu berada pada titik pengakhiran.

Perbalahan

Di tengah-tengah antara dua titik itu, ada banyak proses pe­ngurusan lain yang berlaku se­perti pengumpulan dokumen, permuafakatan waris tentang pelantikan pemohon dan pentadbir, pemfailan permohonan bicara, kehadiran bicara dan lain-lain.

Kesemua urusan ini memerlukan waris untuk bermuafakat dan bersepakat dari segi siapa yang hendak membuat urusan, masa dan kos. Kadang-kadang di pe­ringkat ini pun sudah ada masalah dalam kalangan waris, belum lagi disentuh tentang bagaimana harta pusaka ingin diagih.

Selain itu, waris-waris juga perlu faham dengan jelas tentang hukum faraid itu sendiri. Dalam banyak keadaan hukum itu sendiri tidak difahami dan menyebabkan timbul perbalahan. Di sinilah, peranan ustaz, penceramah, pensyarah universiti dan semua individu yang berpengetahuan tentang faraid diperlukan supaya masyarakat lebih memahami hukum ini.

Faktor perbalahan harta pusaka ini ada pelbagai dan keba­nyakannya adalah di luar kawalan pemilik harta. Antaranya, perbezaan taraf pendidikan dan kehidupan dalam kalangan waris, pengaruh pasangan waris yang kadang-kadang lebih sudu dari kuah dan rasa tidak puas hati yang disimpan lama sejak pemilik harta masih hidup.

Malah, ada kes yang saya temui kes pusaka menjadi ‘puaka’ apabila waris-waris tiada pendapatan dan hanya bergantung sumber kewangan ibu bapa sahaja walaupun sudah dewasa.

Jejaskan hubungan

Apabila berlaku kematian, proses pengurusan pusaka jadi mencabar bila ada waris yang cuba mendominasi urusan pusaka dan mahukan semua waris mengikut arahannya, ketidaksetujuan di antara waris dan ada waris yang memilih untuk tidak bekerjasama.

Bila proses lambat dan mencabar, maka harta pusaka yang sepatutnya diterima waris juga menjadi lambat dan hu­bungan silaturahim juga terjejas. ­Waris juga yang rugi sebenarnya. Inilah maksudnya harta itu menjadi ‘puaka’.

Sebaliknya, bila harta telah dirancang dengan baik semasa hidup melalui kaedah yang dibenarkan hukum syarak dan undang-undang sivil seperti kaedah wasiat, hibah, harta sepencarian dan amanah, pe­ngurusan menjadi lebih tersusun dan mudah.

Segala arahan telah jelas dan boleh dilaksanakan oleh undang-undang. Mungkin ada juga waris yang tidak bersetuju tetapi arahan telah ditetapkan dan harta akan diuruskan mengikut arahan berkenaan.

Waris akan menerima harta dengan cepat, tepat dan mudah. Apabila waris jelas dengan kedudukan keseluruhan proses, kecenderungan waris untuk berbalah juga secara relatifnya lebih rendah berbanding jika harta tidak dirancang. Maka dalam keadaan ini harta anda menjadi ‘pusaka’.

Jadi anda pilihlah harta yang anda bertungkus-lumus kumpulkan seumur hidup ini sama ada hendak jadikan ia ‘pusaka’ atau ‘puaka’. Pilihan di tangan anda.

ARIFFIN SABIRIN adalah Pengasas Wasiyyah Shoppe Berhad.