Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AlloyMtd, Datuk Azmil Khalid berkata, projek berkenaan yang diambil daripada konsep Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya bakal menjadi pusat pentadbiran kerajaan setempat yang pertama seumpamanya di Filipina.

Katanya, apa yang membezakan projek bernilai RM186 juta tersebut dengan Putrajaya ialah pusat itu hanya menempatkan agensi-agensi kerajaan sesuatu wilayah dan bukannya keseluruhan Filipina.

“RGC akan dibina di kawasan seluas tiga hektar yang mana berdasarkan pelan pembangunannya, empat menara setinggi lima tingkat akan dibina dan menempatkan 54 agensi kerajaan di Calamba.

“AlloyMTD amat berbangga kerana diberi kepercayaan untuk menjadi syarikat perintis kepada pembangunan projek seumpamanya di Filipina. Keyakinan kerajaan Filipina memberikan projek itu kepada kami berikutan kejayaan AlloyMTD membina Lebuh Raya Luzon Selatan (SLEX) sepanjang 36 kilometer pada 2010 dan sejak itu, nama serta imej AlloyMTD semakin berwibawa di Filipina," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama pembinaan RGC Calabarzon antara AlloyMTD dan pihak pentadbiran Calamba di sini.

Majlis menandatangani perjanjian itu disempurnakan oleh Presiden MTD Filipina Incorporated, Isaac David yang mewakili AlloyMTD dan Datuk Bandar Calamba, Jaoquin M. Chipeco Jr.

Yang turut hadir Pengerusi Kumpulan AlloyMTD, Datuk Dr. Nik Hussain Abdul Rahman.

Menurut Azmil, RGC Calabarzon dijangka siap dalam tempoh tiga ke empat tahun dan bakal menjadi model contoh kepada lebih banyak RGC yang dirancang dibina di Filipina.

“Kami merancang membina RGC di setiap wilayah Filipina. Di sini ada 17 wilayah, bermakna kami merancang membina 16 lagi RGC," jelasnya.

Mengulas sama ada AlloyMTD akan membina sebuah RGC untuk wilayah autonomi Bangsamoro yang dalam proses pembentukan, Azmil memberitahu, perkara itu sudah tentu berada dalam perancangan pihaknya.

“Bangsamoro memerlukan sebuah pusat pentadbiran. Ketika ini mereka tiada pusat itu, mereka juga tiada kakitangan kerajaan, tiada kepakaran serta kelengkapan. Oleh itu, pembinaan RGC di wilayah tersebut nanti diharap dapat memberi latihan kepada mereka untuk mentadbir wilayah sendiri.

“Untuk makluman juga, sebenarnya perancangan membinanya telah dibincangkan dan kami dalam proses menyerahkan kertas cadangan. Bagaimanapun, bila projek itu boleh dimulakan, kami masih belum boleh menentukan lagi," jelasnya.

Sementara itu, Nik Hussain turut berkesempatan merasmikan pejabat baharu MTD Filipina Incorporated yang terletak di Menara Perdagangan dan Kewangan, Fort Bonifacio di sini.