Keadaan yang mencetus sell-off ini bermula dengan kebimbangan tentang kadar faedah yang lebih tinggi. Pada masa yang sama, bon menawarkan pulangan yang lebih baik menarik pelabur beralih kepada pasaran bon berbanding dengan pasaran ekuiti yang berisiko.

Pelabur dan pedagang tempatan yang kurang arif tentang perkembangan dunia, dinasihatkan untuk mengambil tahu perkembangan semasa ekonomi dunia dan pasaran saham kerana ia merupakan faktor lua­ran yang memberi impak sama ada positif ataupun negatif ke atas pasaran ekuiti.

Berita-berita ini boleh diperoleh dari pencarian di internet ataupun untuk mendapat kemas kini dan berita-berita dunia terkini, pembaca boleh memperolehnya daripada sumber-sumber seperti Bloomberg dan CNN. Aplikasi ini boleh dimuat turun di komputer atau pun di telefon pintar.

Kejatuhan yang terjadi pada Isnin dan Selasa pada minggu lepas ke atas pasaran saham Amerika Syarikat menyaksikan kejatuhan sebanyak 1,840 mata dalam masa dua hari dagangan bursa Amerika Syarikat. Dan ini turut memberi kesan ke atas pasaran serantau seperti indeks Hang Seng dan Nikkei yang turut jatuh melebihi 1,000 mata pada hari yang sama. Sementara indeks FBM KLCI menyusut 54 mata pada sesi pagi Selasa yang sama.

Bagaimanakah keadaan pe­labur dan pedagang tempatan pada masa itu?.

Sudah tentu ia menimbulkan suasana panik dan resah gelisah kerana sudah tentu ramai yang mempunyai pega­ngan saham di dalam portfolio pelaburan.

Keresahan dan ketegangan ini diburukkan lagi bila me­ngenang kembali beberapa peristiwa kejatuhan pasaran saham yang lepas-lepas. Pelabur dan pedagang saham mula terbayang peristiwa-peristiwa hitam yang pernah melanda pasaran tempatan. Maka, ada yang membuat keputusan de­ngan tergesa-gesa dan kurang bijak dalam situasi ini.

Dengan perkembangan dunia internet serta media sosial yang semakin berkembang, dunia saham alam maya turut memainkan peranan mempengaruhi emosi dan tindakan pelabur dan pedagang saham dalam membuat keputusan.

Maka, apabila terjadinya peristiwa-peristiwa sedemikian, maka ramailah individu yang mengeluarkan fakta dan pendapat masing-masing berikutan dengan situasi pasaran semasa.

Maka, di sini apa yang boleh Cikgu Saham katakan, pelabur dan pedagang saham alam maya perlu bijak berhadapan dengan situasi ini. Tidak bertindak melulu dan mengikut emosi kerana ditakuti tindakan yang dibuat secara ter­buru-buru dan mengikut emosi akan mengakibatkan kerugian yang bukan sedikit.

Banyak sudah kisah-kisah pelabur dan pedagang saham alam maya ini membuat kesilapan yang tidak sepatutnya gara-gara mengikut nasihat dan saranan individu yang tidak berkelayakan dan diiktiraf. Walhal, saluran tertentu boleh digunakan seperti mendapat khidmat profesional dan orang-orang yang berkelayakan atau meminta pendapat dari pakar-pakar yang bertauliah.

Mengulas tentang aktiviti sell-off di bursa Amerika Syarikat yang berlaku baru-baru ini, jika merujuk kepada carta pergerakan indeks pasaran Dow Jones Industrial Average (DJIA), indeks DJIA telah melalui satu aliran kenaikan yang agak lama bermula pada paras 18,300 mata pada bulan Ogos 2016 dan mengekalkan kenaikan ke paras melebihi 26,000 mata pada tahun ini.

Dan sehingga indeks DJIA mencecah paras 26,671.51 mata yang merupakan paras tertinggi dalam sejarah pasaran saham Amerika Syarikat, indikator teknikal menunjukkan bahawa carta DJIA telah berada pada paras terlebih belian yang menunggu masa untuk turun semula atau kita panggil sebagai pullback.

Ibarat seperti bom jangka yang tunggu masa untuk meledak, dengan tercetusnya kisah tentang kadar faedah serta pasaran bon menjadi satu titik penyebab bermulanya episod kejatuhan DJIA.

Disebabkan penurunan yang­ terlalu kuat dan drastik iaitu DJIA jatuh hampir 2,000 mata dalam dua hari dagangan, sekali lagi indikator teknikal menunjukkan carta pergerakan DJIA berada di paras terlebih jualan yang mana ia akan membuat pantulan teknikal sebelum meneruskan aliran menurun sekali lagi.

Keadaan ini telah mena­rik pelabur dan pedagang mengambil peluang semasa harga saham murah kesan dari pembetulan harga yang berlaku dalam aktiviti sell-off tersebut.

Pergerakan turun naik pasaran saham merupakan satu aktiviti normal dan setiap pelabur dan pedagang saham perlu tahu bagaimana menangani situasi tersebut dengan bijak.