logo airasia x
 

AAX dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia berkata, perolehannya susut kepada RM4.54 bilion berbanding RM4.56 bilion sebelum ini.

Katanya, AirAsia X merekodkan kerugian bersih pada suku keempat 2018 sebanyak RM99.27 juta berbanding untung RM84.42 juta pada suku sama 2017 manakala perolehan berkurangan kepada RM1.15 bilion berbanding RM1.22 bilion.

“Keuntungan bersih operasi syarikat pada suku keempat adalah RM27.4 juta berbanding RM120 juta pada suku sama 2017. Penurunan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kenaikan harga purata bahan api daripada AS$69 (RM281.43) setong pada suku keempat 2017 kepada AS$89 (RM363.01) setong pada suku sama tahun lalu.

“Selain itu, syarikat juga merekodkan susut nilai membabitkan jumlah daripada usaha sama sebanyak RM24 juta,” katanya di sini hari ini.

Tambah AAX, Kos setiap tempat duduk tersedia bagi satu kilometer (CASK) pada suku keempat 2018 meningkat satu peratus kepada 12.27 sen manakala CASK tanpa bahan api meningkat sebanyak 16 peratus tahun ke tahun berikutan usaha peningkatan pengurusan kos.

Dari segi prospek, AAX berkata, syarikat itu akan menambah sehingga lima pesawat menerusi usaha operasi pajakan pada 2019 membabitkan AAX Thailand.

“AAX Malaysia dijangka kekal dengan 24 pesawat kerana memberi tumpuan terhadap usaha memaksimumkan penggunaan pesawat sedia ada serta memanfaatkan strategi syarikat dalam pelancaran laluan baharu dan meningkatkan kekerapan laluan utama,” katanya. - BERNAMA