Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail berkata, penyediaan struktur kos rendah membawa maksud kepada yuran lebih rendah seterusnya memboleh­kan kumpulan menawarkan tambang lebih murah kepada orang ramai.

Katanya, ia sekali gus membantu meningkatkan trafik udara di negara ini dan juga Malaysia, dalam

 

masa sama merangsang ekonomi negara terlibat.

“Idea kami mudah. De­ngan membawa lebih banyak penumpang ini akan menyumbang kepada pertumbuhan perolehan menerusi perniagaan bebas cukai mahupun kedai kopi di sesebuah negara.

“Paling penting buat Air­Asia X adalah memberitahu para penumpang mengenai kelebihan LCCT, misalnya proses mengambil bagasi di Lapangan Terbang Melbourne Avalon hanya lapan minit dan jauh berbeza di Lapangan Terbang Melbourne Tullamarine,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas majlis pelancaran penerbangan sulung ke Avalon di sini baru-baru ini.

AirAsia X yang sebelum ini terbang dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Melbourne Tullamarine kini telah bertukar ke Lapangan Terbang Melbourne Avalon setelah mengambil kira kos yang lebih rendah.

AirAsia X akan mengendalikan sejumlah 28 kali penerbangan seminggu antara Kuala Lumpur dan Melbourne Avalon menghubungkan penum­pang dengan lebih 130 destinasi serata Asia Tenggara, Asia Barat dan Amerika Syarikat.

Benyamin berkata, Melbourne Avalon menawarkan kelebihan termasuk kadar parkir yang murah, akses yang selesa ke pusat bandar Melbourne melalui SkyBus dan infrastruktur lapangan terbang baharu.

“Pada masa akan datang, kami turut merancang untuk terbang ke Melbourne Avalon dari Bangkok, Thailand dan Bali, Indonesia,“ katanya.

Di Australia, AirAsia X pada masa ini mengendalikan perkhidmatan antara Kuala Lumpur ke Perth, Sydney, Gold Coast dan terkini Melbourne Avalon. – Utusan