Ketua Penyelidik MIDF Research, Mohd. Redza Abdul Rahman berkata, caj perkhidmatan penumpang (PSC) melibatkan orang ramai, justeru, Mavcom harus memberi pendapat mengenainya.

Katanya, MAHB dan AirAsia sepatutnya berbincang mencari penyelesaian yang seimbang buat kedua-dua pihak mengenai isu tersebut tanpa memperbesarkan kes saman kepada pihak awam.

“Kedua-dua pihak menjalankan perniagaan yang menguntungkan. MAHB memerlukan wang bagi menyampaikan perkhidmatan yang baik sementara AirAsia sentiasa berusaha menerbangkan lebih ramai orang.

“Bagaimana MAHB mahu melakukan penyelenggaraan sekiranya tidak mempu­nyai wang yang cukup? Bagaimana pula AirAsia mahu menarik pelancong jika PSC tinggi? Terlalu berjimat juga tidak boleh, ia akan memberi impak kepada kualiti perkhidmatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

AirAsia semalam menyifatkan pe­ningkatan PSC yang dikenakan MAHB adalah tidak wajar dan akan memberi kesan negatif terutama kepada para pelanggan MAHB sendiri.

Menurutnya, caj tambahan RM23 yang akan dikutip berjumlah lebih daripada RM100 juta setahun itu akan terus ke MAHB dan bukan kepada pihak kerajaan.

Malah, pada minggu lalu, Kementerian Pengangkutan turut bersedia menjadi perantara bagi membantu meleraikan pertikaian itu.
Menterinya, Anthony Loke berkata, ia penting bagi meredakan ketegangan selain memastikan perkara itu dapat diselesaikan secara baik.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin yang ditemui hari ini bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang perkara itu.

“Saya tidak dapat memberi penjelasan berkenaan hal itu kerana proses saman sedang berjalan,” katanya selepas sesi perbincangan bersama MAHB mengenai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Aeropolis.
Dalam perkembangan lain, MAHB memperuntukkan RM150 juta sebagai pelaburan bagi membangunkan infrastruktur untuk logistik dan kargo serta aeroangkasa.
Pengurus Besar Pembangunan Tanah MAHB, Randhill Singh berkata, pembangunan infrastruktur berkenaan adalah antara 2018 hingga 2020 yang dianggarkan dapat menjana pelaburan bernilai RM1 bilion.

“Sebanyak RM60 juta telah dilaburkan pada tahun ini dan kira-kira 300 peluang pekerjaan dijangka dapat ditawarkan pada 2019,” katanya