Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes berkata, transformasi tersebut yang bermula pada tahun ini akan memberikan pengalaman baharu kepada pelanggannya ketika berurusan menggunakan sistem dalam talian atau media sosial.

“Dalam era teknologi masa sekarang, semua orang menggunakan telefon pintar ketika berurusan, jadi AirAsia melihat perlu perubahan dilakukan supaya setiap urusan yang dilakukan menjadi lebih mudah dan pantas.

“Sebagai contoh, pemeriksaan keselamatan tidak perlu lagi menggunakan cara lama tetapi cukup dengan menggunakan ibu jari dan dengan pantas setiap data penumpang dapat diperoleh, pada masa sama pelanggan juga boleh mendaftar masuk dan menempah tiket dengan mudah menggunakan sistem dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan acara hackathon terbuka, AirAsia Airvolution 2017 di sini semalam.

Menurutnya, menerusi penggunaan sebuah pangkalan data yang lengkap, setiap maklumat mengenai penumpangnya dapat dikumpul dan boleh digunakan untuk menyampaikan maklumat atau promosi, seterusnya kepada pelanggan sasaran.

Beliau berkata, syarikat pe­nerbangan tersebut perlu berani berubah mengikut peredaran masa dan teknologi supaya sentiasa kekal relevan serta menjadi pilihan utama penumpang.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai acara hackathon yang julung kali diadakan itu, Fernandes berkata, sebanyak 20 pa­sukan daripada 13 negara terlibat dalam program untuk mencari idea dan penyelesaian terbaik mengenai cabaran berkaitan de­ngan pengangkutan udara.