Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tassapon Bijleveld berkata, keadaan itu turut dialami oleh kebanyakan syarikat penerbangan yang lain di negara ini.

Katanya, suasana politik di Thailand menjadi faktor utama yang membawa kepada kerugian syarikat tersebut yang memulakan operasi pada Februari 2004.

“Di sebalik peningkatan kapasiti sebanyak 20 peratus dengan penambahan lima kapal terbang baharu, jumlah penumpang dijangka hanya meningkat sekitar 16 peratus, lebih rendah daripada pertumbuhan tahunan iaitu 20 peratus,” katanya.

Ekoran daripada krisis politik di negara tersebut dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan, pihak berkuasa pelancongan menjangkakan kemasukan 24.6 juta pelancong berbanding sasaran sebelum ini iaitu antara 25 juta dan 25.5 juta orang.

Syarikat penerbangan tambang murah itu semalam mengumumkan perancangannya untuk memberi fokus kepada pasaran domestik pada tahun depan bagi mengatasi kerugian besar yang dicatatkan menerusi pasaran antarabangsa.

AirAsia Thai kini menyasarkan untuk membawa 12.1 juta penumpang tahun ini, lebih rendah berbanding sasaran awalnya iaitu 13.6 juta orang. Purata faktor muatan ialah 80 peratus, berkurangan daripada sasaran 83 peratus. Tahun lalu, AirAsia Thai membawa 10.3 juta penumpang.

Menurutnya, AirAsia Thai juga sedang meneliti tambahan laluan baharu di Chumphon, Buri Ram, Ranong dan Mae Sot di wilayah Tak serta menambah beberapa laluan di luar Bangkok seperti Chiang Mai-Hong Kong, Chiang Mai-Surat Thani dan Krabi-Guangzhou, yang kurang persaingan.

“Lima pesawat baharu Airbus A320 dijangka tiba pada suku pertama dan selebihnya pada separuh kedua 2015. Ini dapat membantu AirAsia Thai meningkatkan sasaran 14 juta penumbang tahun depan terutama bagi pelancong di Thailand dan China.

Di samping itu, syarikat juga bercadang untuk menambah perkhidmatan penerbangan menerusi Lapangan Terbang Don Mueang,” katanya.

AirAsia Thai dimiliki oleh Asia Aviation dengan pegangan 55 peratus saham dan bakinya 45 peratus oleh AirAsia International. – AGENSI