Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya teruja menerima anugerah tersebut setelah bekerja keras dalam menjanjikan keselesaan kepada pelanggan dengan kemudahan yang ditawarkan.

Beliau berkata, pengiktirafan itu melambangkan usaha berterusan syarikat dalam menetapkan piawaian bagi perjalanan tambang rendah di rantau ini.

“Kami gembira menerima anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia. Kami telah bekerja keras dalam menaik tarafkan perkhidmatan untuk para tetamu kami melalui digitalisasi.

“Ia bermula daripada proses daftar masuk dan menaiki penerbangan hingga ke tempahan dalam talian dan perkhidmatan tetamu, serta terus mengekalkan hospitaliti ASEAN yang unik,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

AirAsia telah menerima undian tertinggi daripada para pemain industri profesional dari seluruh dunia bagi kecemerlangan komitmen dalam perkhidmatan, mendahului Air India Express, Firefly, GoAir, JetKonnect, JetStar Airways, Lucky Air, Nok Air, Scoot, SpiceJet, Tigerair Taiwan dan West Air.

Malah, syarikat tambang rendah itu juga memenangi anugerah Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia mengatasi Air India Express, Firefly, GoAir, JetKonnect, Jetstar Airways, Lucky Air, Nok Air, SpiceJet dan West Air.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Hong Kong dan Macao, Celia Lao menerima anugerah-anugerah itu bagi pihak AirAsia di majlis berprestij yang diadakan di Hong Kong, semalam.

World Travel Awards merupakan satu daripada anugerah yang paling berprestij, komprehensif dan diidamkan oleh industri global dan pelancongan.

Ditubuhkan pada tahun 1993 untuk mengiktiraf, memberi ganjaran dan meraikan kecemerlangan dalam semua sektor industri perjalanan, pelancongan dan hospitaliti, jenama World Travel Awards kini diiktiraf di peringkat global sebagai anugerah utama bagi kecemerlangan industri.