Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, Terminal 2 sangat penting untuk perkembangan AirAsia di nege­ri ini memandangkan AirAsia X telah merancang untuk membuka laluan baharu dari Kota Kinabalu ke China, India dan Korea serta ke Perth dan Melbourne di Australia.

Katanya, langkah tersebut akan turut merancakkan lagi industri pelancongan Sabah dengan jangkaan kehadiran pelancong sebanyak lima juta setahun menggunakan syarikat penerbangan berkenaan.

“Kami tidak dapat berkembang dengan pesat sejak berpindah ke Terminal 1, justeru pasukan kami telah membentangkan kertas kerja kepada Kementerian Pelancongan, Kementerian Pengangkutan dan sekarang Ketua Menteri Sabah untuk mendapat kebenaran beroperasi di Terminal 2.

“Kami percaya mampu berkembang sehingga 26 peratus setahun seperti sebelum ini di Terminal 2, kami juga tahu kerajaan ada peran­ca­ngan untuk membina lapangan terbang baharu tetapi jika beroperasi di Terminal 2 kosnya lebih murah dan cepat disiapkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Fernandes bersama Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Berhad, Benyamin Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia, Riad Asmat mela­kukan pertemuan de­ngan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk membentangkan kertas kerja tersebut di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) pagi ini.

Beliau berkata, jika diberi kebenaran, kerja-kerja menaik taraf Terminal 2 boleh disi­apkan dalam tempoh enam bulan serta bakal membuka 30,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat negeri ini.

Menurut beliau, usaha AirAsia ketika mula bertapak di negeri ini 16 tahun lalu kini membuahkan hasil apabila semakin banyak syarikat penerbangan menaruh keyakinan kepada negeri itu dan membuka operasi di sini.

“Kami yakin Sabah mampu menjadi hab pengangkutan di Asia oleh pengunjung dari Australia kerana sektor pelanco­ngannya dan peranan AirAsia turut mampu meningkatkan lagi pembangunan ekonomi di sini.

“AirAsia juga berhasrat untuk menambah laluan penerbangan domestik dari Kota Kinabalu ke Tawau dan Sandakan jika kami dapat beroperasi di Terminal 2,” tambah beliau.