Ketua Komersial AirAsia Malaysia, Spencer Lee berkata, lima anugerah emas yang diraih itu adalah bagi Idea Terbaik-Digital; Idea Terbaik-Mudah Alih; Penggunaan Terbaik Digital dan Penggunaan Terbaik Sosial yang diterima hasil daripada kempen Adventure Live AirAsia, siri pengembaraan interaktif yang disiarkan secara langsung dari enam destinasi Asia Tenggara iaitu Hanoi, Cebu, Yangon, Lombok, Phnom Penh dan Luang Prabang - melalui Facebook Live di laman Facebook.

Selain itu katanya, kempen 48 Hours In Asia yang dijalankan AirAsia telah merangkul emas bagi ka­tegori Idea Terbaik - Penonton Wanita serta dua perak bagi ka­tegori Idea Terbaik-Pemasaran Kandungan dan Penggunaan Terbaik Sosial.

“Kami sangat teruja kerana menerima 11 anugerah untuk tahun ini dan menjadi satu daripada jenama paling terkenal, selain diiktiraf sebagai yang terbaik dalam kategori digital, selaras dengan komitmen kami ke arah menjadi digital syarikat penerbangan.

“Ia juga satu penghormatan untuk menerima 14 penyertaan yang disenarai pendek dalam kalangan jenama besar lain dan dengan kemenangan dalam kebanyakan ka­tegori ia adalah sebagai satu bukti bagi kedudukan jenama dan pasukan yang sangat berbakat serta rakan kongsi seperti Dentsu X (Malaysia) dan We Are Kix,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, tiga lagi anugerah perak diraih bagi Idea Terbaik-Perhubungan Awam/Media melalui kempen Santan On Wheels; Idea Terbaik-Pemasaran Sukan di bawah kempen Together, We Dare To Dream serta Penggunaan Terbaik Radio bagi Ultimate Xventure Challenge,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Anugerah MARKies 2018 merupakan edisi kesembilan untuk meraikan dan mengiktiraf kempen atau projek yang paling inovatif, kreatif dan berkesan meliputi industri perkhidmatan pemasaran yang pelbagai Malaysia.