Penerbangan pertama itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini pada pukul 12.55 tengah hari, diiringi oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Abdul Karim Rahman Hamzah; Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak, Datuk Abdul Wahab Aziz dan Ketua Ko­mersial AirAsia Berhad, Spencer Lee.

Ketibaan penerbangan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi disambut oleh Pengurus Bahagian Promosi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nor Aznan Suleiman.

Menurut Spencer, AirAsia terus komited untuk mengembangkan hab penerbangannya di negeri ini kerana Sarawak mempunyai banyak tarikan dan destinasi pelancongan untuk dikunjungi.

“Menambah laluan penerbangan ke Sarawak juga pen­ting bagi kami kerana negeri ini merupakan satu daripada destinasi pelaburan utama di Malaysia yang mana Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) menarik ramai pelabur untuk menubuhkan kilang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pertanian dan banyak lagi,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran penerbangan sulung itu di Bilik Tetamu Kenamaan (VVIP), LTAK.

Mengulas lanjut, Spencer berkata, setakat tahun ini, Air­Asia sudah menerbangkan kira-kira 3.2 juta tetamu masuk dan keluar ke hab Kuching.

Justeru kata beliau, pihaknya percaya dua laluan baharu iaitu Kuching-Pontianak, Indonesia yang dilancarkan baru-baru ini, diikuti Kuching-Langkawi hari ini, akan me­ngukuhkan komitmen syarikat penerbangan itu di Sarawak.

Tambahnya, AirAsia berharap dapat terus mengukuhkan lagi hab di negeri ini de­ngan memperkenalkan lebih banyak lagi laluan baharu pada masa akan datang termasuk penerbangan terus ke luar negara.

Sementara itu, Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri menyambut baik keputusan AirAsia memperkenalkan penerbangan te­­rus dari bandar raya ini ke pulau bebas cukai, Langkawi kerana usaha itu mampu me­ningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke Sarawak.

“Saya begitu kagum dengan usaha agresif AirAsia mempromosikan perkhidmatan mereka apabila menambah banyak laluan baharu termasuk melantik golongan artis sebagai ejen promosi seperti pelantikan pelakon terkenal Indonesia (Raline Shah sebagai menjadi Pesuruhjaya Bebas syarikat itu, PT Air­Asia Indonesia).

“Kita menyambut baik u­sa­ha AirAsia memperkenalkan banyak destinasi di negeri ini dan pada masa sama, turut menggalakkan syarikat penerbangan lain yang berminat untuk memperkenalkan perkhidmatan di Sarawak dalam usaha menarik kehadiran pelancong dan meningkatkan industri pelancongan,” ujarnya.

AirAsia kini terbang ke 11 destinasi dari bandar raya ini dengan lebih 220 penerbangan mingguan sehala termasuk beroperasi dengan kekerapan empat kali seminggu bagi laluan Kuching-Langkawi pada Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad.