Pelbagai masalah dihadapi Air­Asia antaranya kemudahan di terminal itu dikatakan tidak setaraf dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kerosakan infrastruktur dan caj perkhidmatan penum­pang (PSC) yang tinggi.

AirAsia pernah menyatakan kesediaan untuk berpindah ke KLIA selepas Suruhanjaya Pe­nerbangan Malaysia (Mavcom) menaikkan caj PSC pada Januari 2017. Alasan yang diberikan KLIA mempunyai kemudahan yang lebih baik dan memenuhi pengalaman serta selera pengguna.

Bagaimanapun, apa yang dihajati tidak berlaku. AirAsia kekal di KLIA2. Syarikat tersebut bimbang tekanan kos yang semakin meningkat akan menyebabkan mereka kehilangan daya saing dengan syarikat-syarikat penerbangan penuh (FSC).

Penganalisis berpendapat, kenaikan kos operasi menjadikan FSC mempunyai kelebihan berbanding syarikat tambang rendah. Daripada aspek harga tiket pula, FSC seperti Malaysia Airlines dan Malindo menjadi lebih kukuh sementara syarikat tambang rendah akan kehila­ngan pasaran.

AirAsia pada hujung bulan lalu menghantar notis tuntutan hampir RM480 juta kepada anak syarikat milik penuh MAHB, Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. (MASSB) atas kerugian yang ditanggung kerana beroperasi di KLIA2. Terdahulu, MASSB telah memfailkan tuntutan saman berjumlah RM9.4 juta dan RM26.72 juta.

Pada masa sama, AirAsia mencadangkan untuk menyelesaikan perkara itu secara rundingan bersama tanpa melibatkan sistem perundangan, namun niat itu ditolak oleh MAHB. Apa jadi sekiranya kemelut Air­Asia dan MAHB tidak diselesaikan secara rundingan bersama?

Menjejaskan reputasi

Perkembangan kemelut itu sentiasa mendapat perhatian media sama ada tempatan mahupun antarabangsa. Seperti yang sedia maklum, AirAsia merupakan syarikat penerba­ngan tambah rendah terbaik dunia selama 10 tahun berturut-turut. Begitu juga dengan MAHB yang mengendalikan lapangan terbang dengan baik dan cekap.

Berita yang tidak enak dide­ngar pastinya mengundang persepsi negatif daripada para pelanggan apabila masing-masing mula membuka pekung sendiri. Penyelesaian secara bersama yang seimbang tanpa perlu memperbesarkan kes saman.

Mewujudkan kebimbangan pelanggan

Imej bersih yang ditonjolkan selama ini boleh tercalar apabila orang ramai mula meragui perkhidmatan yang ditawarkan termasuk bimbang adanya caj tersembunyi, kekurangan kemudahan dan tidak sempurna.

Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan baik AirAsia dan MAHB boleh membawa kepada kekeliruan dalam kalangan pe­langgan. Pendedahan pelbagai kelemahan juga hanya membawa kepada penurunan jumlah trafik antarabangsa. Akibatnya, industri penerbangan terjejas, kemasukan pelancong merosot dan sumbangan terhadap ekonomi juga semakin mengecil.

Kemerosotan kekayaan pemegang saham

Jika polemik tersebut dise­lesaikan secara perundangan sudah pasti sebelah pihak terpaksa akur dengan keputusan mahkamah. Selain mengambil masa untuk diselesaikan, ia juga menelan belanja yang besar.

Bagi sebuah entiti perniagaan yang berasaskan keuntungan peningkatan kos adalah sesuatu yang harus dielakkan. Itu baharu belanja prosiding mahkamah belum lagi dicampur dengan tuntutan yang perlu dibayar.

Hubungan menjadi keruh

Hubungan sedia ada sekarang sudah pun berantakkan. Bagaimana pula selepas keputusan mahkamah diketahui? Pasti terasa janggal sekiranya pihak yang menang atau kalah untuk bekerjasama semula. Atas dasar profesional perkara itu ibarat diluah mati emak ditelan mati bapa.

AirAsia dan MAHB saling melengkapi dan memerlukan. AirAsia merupakan syarikat penerbangan sementara MAHB adalah pengendali terminal. Memahami model perniagaan masing-masing sangat pen­ting supaya tiada tindakan yang hanya memberi kelebihan kepada sebelah pihak sahaja.

Tindakan MAHB untuk tidak melayan tawaran AirAsia mungkin disebabkan syarikat itu sudah lama bersabar dengan AirAsia. Pihaknya juga akan mengambil tindakan jika Air­Asia tidak berhenti daripada mengeluarkan kenyataan yang tepat, salah dan mengelirukan.

Bagi AirAsia, segalanya sudah dilakukan mengikut Sek­syen 74 Mavcom. Namun, masih tidak terlambat sekiranya mahu perkara tersebut dibawa ke meja rundingan. Penyelesaian yang lebih harmoni boleh dicapai di samping memberikan situasi menang-menang. Sesekali fikirkan dan renungkan juga apakah perasaan pengguna melihat dua gergasi ini berantakan.