Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, yuran KLIA2 diperke­nalkan pada Mei 2014 bagi menampung kos tambahan yang wujud daripada penggunaan kemudahan mandatori yang dikenakan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

RIAD ASMAT
RIAD ASMAT 

Menurut beliau, antara kemudahan mandatori yang terdapat di KLIA2 termasuk penggunaan jambatan udara, sistem daftar masuk SITA dan sistem menaiki pesawat.

“Kemudahan-kemudahan tersebut sebelum ini tidak terdapat di terminal lapangan terbang kos rendah (LCCT). Pemansuhan yuran KLIA2 ini selaras dengan pengumuman yang dibuat pada minggu lalu.

“Kami telah mengatakan sejak dari dahulu lagi KLIA2 tidak sesuai untuk operasi syarikat penerbangan tambang rendah. Kami akan terus ke MAHB untuk segala kos tambahan yang mereka kenakan,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Isnin lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dalam sesi langsung di Facebooknya bersama orang ramai berkata, pihaknya akan berhenti me­ngutip caj RM3.

Bagaimanapun, MAHB tam­pil menjelaskan bahawa pihaknya tidak pernah me­ngenakan caj RM3 di KLIA2 seperti yang diperkatakan Air­Asia.

Menurut MAHB, caj itu dikenakan dan dikutip semata-mata oleh AirAsia sejak terminal KLIA2 memulakan operasi pada 2014.

Dalam kenyataan minggu lalu MAHB menjelaskan, satu-satunya caj yang dikutip oleh pihaknya adalah caj perkhidmatan penumpang RM11 bagi pelepasan domestik, RM35 bagi pelepasan antarabangsa ke negara ASEAN dan RM73 bagi pelepasan antarabangsa ke negara bukan ASEAN.

AirAsia sebelum ini me­ngenakan caj perkhidmatan penumpang (PSC) sebanyak RM50 bagi pihak MAHB di KLIA2 dalam harga tiket pe­nerbangannya, namun enggan menaikkan jumlah itu selepas MAHB menyemak semula caj berkenaan kepada RM73.