Ini kerana menurut Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat (gambar), pengguna yang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) tidak sepatutnya dikenakan kadar yang sama di KLIA.

“KLIA2 adalah terminal kos rendah yang tahap perkhidmatan yang lebih rendah disediakan kepada para penumpang. Jika dibandingkan dengan KLIA, ia adalah terminal de­ngan perkhidmatan penuh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini berhubung pertikaian antara Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dan Kumpulan AirAsia membabitkan PSC.

Pertikaian itu menyaksikan anak syarikat MAHB, MASSB mengambil tindakan undang-undang terhadap AirAsia Bhd. yang juga unit AirAsia Group serta penerbangan jarak jauhnya, AirAsia X Bhd. dengan mengemukakan saman masing-masing sebanyak RM9.40 juta dan RM26.72 juta membabitkan PSC.

Jelas Riad, AirAsia telah mengutip bagi pihak MASSB, sebanyak RM50 cukai lapangan terbang daripada seiap penumpang antarabangsa bukan ASEAN yang berlepas dari KLIA2 sejak 1 Januari 2017.

“Setakat ini AirAsia te­lah membayar sebanyak RM663,051,008.52 cukai tersebut kepada MASSB,” katanya.

Bagaimanapun, jelas beliau, mulai 1 Februari 2018, MASSB meningkatkan caj cukai tersebut kepada RM73 bagi penumpang antarabangsa bukan ASEAN yang berlepas dari KLIA2.

Tindakan ini bagi menyamakan kutipan PSC di KLIA2 dan KLIA berbanding RM50 sebelum ini.

Beliau berkata, sebelum ini AirAsia telah mengemukakan beberapa aduan rasmi berhubung infrastruktur yang lemah dan akses di KLIA2 hingga memberi kesan negatif terhadap prestasi dan ketepatan operasi.

Ini termasuk kemudahan infrastruktur yang tidak memuaskan di KLIA2, kecacatan di kawasan tempat letak pesawat, banjir, tanah mendap, saluran minyak bocor, penutupan landasan dengan mengejut ekoran keperluan penurapan semula yang berterusan, penutupan pintu pelepasan dan kerosakan kepada pesawat.

“Berdasarkan kiraan kami, tuntutan-tuntutan ini jauh melebihi jumlah cukai lapa­ngan terbang yang enggan kami kutip bagi pihak MASSB daripada para penumpang kami,” katanya.

Menurut Riad, pihaknya telah cuba beberapa kali cuba berhubung dengan MASSB mengenai perkara berkenaan, tetapi malangnya MASSB memutuskan untuk membuatnya secara terbuka dan mengambil tindakan undang-undang berdasarkan tuntutan dan AirAsia akan membantah.

Sepertimana MASSB meng­ambil kira ‘kepentingan pihak berkepentingan dan kakita­ngan’ seperti dinyatakan dalam writ saman itu, beliau berkata, AirAsia juga sebagai syarikat penerbangan yang berorientasikan rakyat, turut memiliki kepentingan yang sama kepada orang awam, industri pelancongan dan negara.