Kejayaan itu sekali gus melayakkan pasukan tersebut bertanding ke peringkat antarabangsa dalam pertandingan WorldSkills Competition (WSC) di Kazan, Rusia tahun depan.

Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Ir. Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, daripada enam pengiktirafan yang diterima ABM, dua peserta memenangi pingat emas dan pingat perak manakala selebihnya adalah penerima Medallion for Excellence.

“Pingat emas disumbangkan oleh Mohamad Amirol Amin Mohamad Zamri dari ABM Wilayah Selatan yang berjaya menewaskan peserta dari Indonesia, Taiwan, India, Belarus dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Pingat perak pula milik Ahmad Naim Mohamad Rosli dari ABM Sarawak dalam bidang lukisan dan hiasan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kejayaan tersebut merupakan kebanggaan kepada ABM kerana mengharumkan nama negara di peringkat Asia.

“Terdapat 19 buah negara yang menghantar wakil dalam pertandingan yang merupakan platform kepada pelatih-pelatih teknikal dan latihan vokasional.

“Selain itu, kita juga dapat menjalin kerjasama de­ngan bertukar-tukar kepakaran, tek­­nologi dan kaedah latihan dalam kalangan negara-negara Asia yang terlibat,” ujarnya.