Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Group Bhd., Tan Sri Tony Fernandes berkata, AirAsia X disifatkan sebagai penerbangan paling bawah nilai dan telah melakukan semua kerja keras.

Katanya, syarikat penerba­ngan jarak jauh itu telah menutup laluan, mengurangkan kos dan meningkatkan penggunaan pesawat.

“AirAsia X akan mencapai tahun terbaik pada 2019. Pe­nerbangan paling bawah nilai telah melakukan semua kerja keras ini.

“Mengurangkan laluan, run­­dingan semula pajakan, mening­katkan penggunaan, pemoto­ngan kos, kejayaan Thailand dan perkembangan yang tegang di Indonesia,” katanya dalam hantaran terbarunya di Twitter hari ini.

Menurut Tony, pesaing syarikat berkenaan juga semakin perlahan.

“Ia juga satu pengakhiran buat syarikat penerbangan yang menggunakan wang pembayar cukai seterusnya menyebabkan AirAsia X berdepan masalah terbesar.

“Saya dan Pengerusi Eksekutif AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun menambah saham kami. Ia mengambil masa, tetapi dalam tempoh 10 tahun, ia akan menjadi menarik dengan pesawat neo,” katanya.

Semalam menerusi akaun twitter beliau, @tonyfernandes menyuarakan tumpuan perniagaan AirAsia Group di Indonesia dan Filipina pada tahun ini untuk menjadikannya benar-benar menguntungkan.

Tony turut mengesahkan kumpulan itu tidak akan membuka syarikat penerbangan baharu dalam tempoh tiga tahun.