Ketua Pegawai Strategi dan Pemasaran Kumpulan Axiata, Dominic Arena berkata, MoU berkenaan adalah bagi memperluaskan tawaran kepada pelanggan Axiata melalui XL di Indonesia, Smart di Kemboja, Robi di Bangladesh dan Ncell di Nepal susulan kejayaan usaha sama dengan Celcom di Malaysia dan Dialog di Sri Lanka sebelum ini.

Jelas beliau, pelanggan Axiata kini boleh menikmati perkhid­matan iflix bertaraf dunia dan langganan video on demand yang meluas bagi kandungan tempatan, serantau dan Barat menggunakan sambungan dan teknologi terbaik Axiata.

“Axiata sentiasa memberi tumpuan kepada pengalaman pelanggan dan proses inovasi bagi mengukuhkan posisi kami dalam sumber nilai baharu ter­utamanya bagi produk hiburan digital dan platform pengedaran kandungan digital di rantau ini.

“Peluasan kerjasama dengan iflix ini membuktikan komitmen kami bagi membekalkan perkhidmatan dan kan­dungan iflix kepada lebih 125 juta pelanggan di Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Kemboja, Nepal dan Sri Lanka,” katanya dalam ke­nya­taan di sini hari ini.

Kerjasama antara Axiata dan iflix bakal memberi standard baharu dalam pengalaman hiburan kepada pelanggan merentasi rantau dengan iflix telah menjadi peneraju pasaran dalam penstriman video dan sehingga kini telah memberi perkhidmatan kepada lebih 1 bilion pengguna di 18 kawasan merangkumi Asia, Asia Barat dan Amerika Utara.