Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, jumlah itu mewakili 11.4 peratus daripada keseluruhan 13.1 juta pemegang unit pelaburan dalam 10 produk unit amanah ASNB yang direkodkan sehingga 31 Ogos lepas.

Katanya, ini membuktikan PNB dan ASNB sebuah jentera penting dalam menggerakkan simpanan dan pelaburan masyarakat negara ini terutamanya bumiputera.

Jelas beliau, sebagai sebuah institusi diberi mandat untuk mengurus dan mengukuhkan ekuiti bumiputera di negara ini, PNB mahu memainkan peranan penting dalam usaha melahirkan generasi muda bijak mengurus wang,

“Generasi yang berusia antara enam bulan hingga 18 tahun me­rupakan antara sasaran PNB dalam program Didik Pelabur yang dianjurkan saban tahun.

“Pelbagai program digerakkan oleh PNB untuk menanam budaya menabung dan melabur dalam kalangan masyarakat negara ini,” katanya dalam majlis penutup Fiesta Labur PNB di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Fiesta Labur PNB 2017 anjuran ASNB, anak syarikat milik penuh PNB di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), menutup tirainya selepas empat hari berlangsung dengan merekodkan sebanyak 12,000 pengunjung.

Abdul Wahid berkata, pencapaian ini amat membanggakan dan menjadi penyuntik semangat kepada PNB dan ASNB untuk terus menganjurkan program seperti Fiesta Labur PNB pada masa depan.

“Saya yakin gabungan pelbagai program Didik Pelabur dalam Fiesta Labur kali ini telah berjaya menyebarkan maklumat pelaburan kepada orang ramai terutamanya kepada penduduk Putrajaya dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Sempena majlis penutup itu, beberapa pengunjung membawa pulang hadiah cabutan bertuah antaranya Rahani Ya memenangi televisyen LED SHARP bersaiz 60 inci dan Jew Kian Chee, Samsung Tablet Tab A.