Ketua Pengawai Eksekutif YTL Communications, Wing K. Lee berkata, program berkenaan bersama sokongan Facebook dijalankan di Georgetown, Pulau Pinang untuk menyediakan capaian yang dipercayai, harga berpatutan dan jalur lebar berkelajuan tinggi.

Menurut beliau, syarikat telekomunikasi, perniagaan dan pihak berkepentingan telah melabur dalam infrastruktur dan keupayaan capaian untuk menyumbang kepada peningkatan penggunaan jalur lebar berkelajuan tinggi.

“Kerjasama ini disokong oleh Facebook dengan visi Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) untuk memajukan kualiti jalur lebar dan liputan serta menurunkan harga perkhidmatan. Di samping itu, usaha ini melengkapkan visi Pulau Pinang 2030 yang mengutamakan keluarga, mesra alam dan teknologi pintar.

“Facebook menjana reka bentuk rujukan untuk Terragraph yang merangkumi peralatan dan sistem perisian yang diperlukan untuk mengoperasikan teknologi. Program perintis sepanjang enam bulan ini akan meliputi peruntukan jalur lebar untuk kegunaan awam dan akses tanpa wayar tetap,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Lee, YTL Communications mengenal pasti peluang unik untuk mengoperasikan teknologi berinovasi tinggi tanpa mengganggu struktur warisan Kelab Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bandar Georgetown.

“Kami mengumumkan hasrat untuk melancarkan program perintis ini di Telecom Infra Project Summit 2018 dan akan menjadikan visi ini kepada realiti dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Bermula 1 Mac, program ini akan berjalan selama enam bulan di mana kami akan meneliti dan mengkaji penggunaan komersial sambil meneroka kaedah-kaedah memanfaatkan teknologi canggih tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden Capaian Facebook, Dan Rabinovitsj berkata, pihaknya sedang membina sebuah ekosistem yang mantap dengan hasil kerjasama vendor set cip, pengilang dan pembekal perkhidmatan untuk memberi sambungan berkualiti tinggi ke kawasan bandar dan pinggir bandar.

Terragraph yang diperkenalkan pada 2016 direka untuk membawa kelajuan gigabait ke kawasan bandar yang padat. - UTUSAN ONLINE