Yayasan Maybank dan Yayasan ASEAN dalam kenyataan bersama berkata, program berkenaan mengumpulkan 100 belia berusia antara 19 hingga 35 tahun dari seluruh rantau ASEAN untuk membangunkan dan melaksanakan projek komuniti demi memberikan impak jangka panjang berkesan dari segi aspek sosial dan ekonomi.

Menurutnya, program itu menyediakan geran mikro berjumlah AS$200,000 (RM835,935) untuk memulakan inisiatif komuniti yang dapat mengurangkan kemiskinan dan memperkasakan masyarakat ASEAN.

"Selain itu, inisiatif ini akan memainkan peranan penting dalam membantu mencapai matlamat seperti yang dinyatakan dalam Rangka Tindakan Masyarakat Sosio-Budaya ASEAN 2025 dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya di sini hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian lanjutan tersebut diadakan di bangunan Sekretariat ASEAN baharu yang dilancarkan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo sempena sambutan Hari ASEAN ke-52.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank dan Pesuruhjaya Presiden Maybank Indonesia, Datuk Abdul Farid Alias; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan ASEAN, Kok Li Peng; Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Tetap ke ASEAN (CPR), Phasporn Sangasubana dan Presiden Direktor Maybank Indonesia, Taswin Zakaria.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin menandatangani bagi pihak Maybank manakala Yayasan ASEAN diwakili oleh Pengarah Eksekutifnya, Elaine Tan.

Program yang berlangsung dari Ogos 2018 hingga Ogos tahun ini bermula dengan Bengkel Pembinaan Kapasiti dan Orientasi Serantau pada Januari di Pusat Kajian ASEAN, Universiti Chulalongkorn, Bangkok.

Lanjutan aturcara bengkel ini, semua belia dihantar ke kawasan komuniti terpilih di Kemboja, Indonesia dan Malaysia untuk memulakan projek komuniti yang tertumpu kepada empat bidang tertentu iaitu pemerkasaan masyarakat, kesenian dan kebudayaan, kepelbagaian alam sekitar dan pendidikan.

Sementara itu, Shahril Azuar berkata, projek komuniti seumpama ini mempamerkan komitmen Maybank untuk berada di jiwa masyarakat sejajar dengan misi syarikat untuk menginsankan perkhidmatan kewangan.- UTUSAN ONLINE