"Dengan hati yang berat saya telah menawarkan peletakan jawatan saya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MDEC untuk meneruskan kerjaya dengan syarikat teknologi di Jakarta," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh MDEC.


Beliau melepaskan jawatannya sebagai CEO dan semua jawatan lain dalam MDEC berkuatkuasa 15 Januari 2019.


Berterima kasih kepada Yasmin atas kepimpinannya dalam MDEC, yang mana beliau menyertainya sebagai CEO pada 15 Sept 2014, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dipetik sebagai berkata dalam kenyataan itu bahawa semangat, komitmen dan tenaga CEO tersebut telah memberi manfaat kepada Malaysia dalam tempoh berkenaan.


Pemangku Pengerusi MDEC, Datuk Mathialakan Chelliah juga berkata: "Datuk Yasmin adalah pemimpin yang berwawasan di MDEC. Kebolehan beliau untuk memacu pelbagai inisiatif yang memberi tumpuan kepada hasil pada peringkat nasional adalah tiada bandingannya.


"Kami sangat berterima kasih atas usaha gigih beliau yang telah berkhidmat kepada negara sejak beberapa tahun yang lalu dan sememangnya sedih yang dia akan meninggalkan MDEC."


Di bawah kepimpinan Yasmin, MDEC memula dan mengambil bahagian dalam, antara lain, projek pembinaan negara seperti Zon Perdagangan Bebas Digital untuk menggalakkomuniti perusahaan kecil dan sederhana Malaysia untuk merangkul e-dagang, membawa masuk pelaburan langsung asing ke Malaysia, memupuk sistem teknologi Malaysia, termasuk syarikat pemula niaga dan tempatan ke peringkat bertaraf dunia. - BERNAMA