KUALA LUMPUR 13 SEPTEMBER 2017 - Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Datuk Dr. Musa Ahmad ketika Majlis perasmian PNB-USIM Shariah Governance and Assurance Conference 2017 di Hotel Royale Chulan, di sini hari ini.Gambar : Riduan Rizal AhmadPemberita : Zuraidah / Syariza

Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad berkata, bagaimanapun setakat ini, belum ada sebarang standard atau kerangka kerja khusus yang boleh menjadi garis panduan atau sumber rujukan kepada pemain industri terutama dalam menerapkan tadbir urus dan jaminan syariah dalam industri kewangan Islam.

“Dalam masa sama, profesional yang terlibat dalam audit syariah juga memerlukan satu standard yang lengkap bagi tadbir urus dan jaminan syariah seperti mana kriteria dalam Laporan Standard Kewangan Antarabangsa (IFRS) dalam audit penyata kewangan dan kaedah pengurusan risiko seperti audit antarabangsa, penilaian syariah dan jaminan.

“Ini amat penting supaya dapat mewujudkan keharmonian dalam kalangan institusi berasaskan syariah terutama dalam perbankan Islam,” katanya pada Persidangan Tadbir Urus dan Jaminan Syariah PNB-Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini hari ini.

Persidangan itu dirasmikan Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Maybank Islamic Berhad, Datuk Mohamed Rafique Merican Mohd. Wahiduddin Merican.

Persidangan tersebut adalah kerjasama antara Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM, PNB dan Maybank Islamic bertujuan membangunkan satu standard tadbir urus dan jaminan syariah bagi memenuhi kepentingan pematuhan syariah.

Sementara itu, Timbalan Ke­tua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Badlisyah Abdul Ghani dalam sesi perbincangan panel berpendapat, satu keperluan menyeluruh terhadap patuh syariah boleh diwujudkan pada masa akan datang sekiranya mahu menerapkan tadbir urus dan jaminan syariah dalam kalangan syarikat di negara ini.

Sebagai contoh, katanya, peringkat awal kepada pematuhan syariah ini boleh bermula daripada aspek mendapatkan pembiayaan kewangan dan kemudiannya pengurusan struktur perniagaan tanpa tertumpu kepada produk yang patuh syariah semata-mata.

“Jika kita mahu sama ada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mahupun syarikat milik kerajaan (GLC) dijalankan berteraskan patuh syariah, satu keperluan perlu ditetapkan.

“Kita boleh mengambil contoh di Indonesia, terdapat satu peruntukan undang-undang bagi syarikat yang mahu menjalankan operasi perniagaan secara konsisten dengan syariah perlu memiliki undang-undang syariah dan struktur tadbir urus yang betul,” katanya.