Rebel 500 sudah pun berada dalam pasaran tempatan sejak pertengahan tahun lepas. Mungkin kurangnya publisiti menimbulkan sedikit keraguan tentang prestasi enjin dan aspek pengendalian kepada mereka yang berhasrat memilikinya. Penulis sendiri ada menerima perta­nyaan mengenai perkara itu da­ripada netizen selepas memuat naik dalam media sosial gambar Rebel 500 yang ditunggang uji.

Cepat ‘mesra’

Apa yang penulis paling suka tentang Rebel 500 adalah ia mencetuskan keseronokan setiap kali menunggangnya. Tidak perlukan tempoh lama malah penulis sendiri terus serasi dengan jentera ini sebaik sahaja membawanya keluar dari bilik pameran Boon Siew Honda Sdn. Bhd. di ibu negara.

Meredah kesibukan kosmopolitan sambil mencelah deretan kenderaan selepas itu tidak membebankan. Tinggi tempat duduk 690 milimeter (mm) dan berat 191 kilogram (kg) sudah cukup untuk membayangkan betapa mudah pengendaliannya terutama ketika berhenti di lampu isyarat merah dan simpang jalan.

Penulis juga menguji ke­upayaannya sepanjang jalan lama dari Sungai Panjang, Sabak Bernam menuju Ulu Bernam, Hulu Selangor sejauh kira-kira 60 kilometer yang kurang dilalui kenderaan kerana agak sempit selain permukaan yang tidak elok di sesetengah kawasan, Walau bagaimanapun, dwipenyerap hentakan boleh laras yang dipasang ternyata memberi keselesaan ketika meredah laluan tidak rata dan berombak. Ditambah sistem brek antikekunci (ABS) membolehkan kelajuan jentera ini diperlahankan atau diberhentikan dengan berkesan ketika berdepan keadaan mencemaskan seperti mengelak lubang.

Menunggangnya dalam kelajuan tinggi di sepanjang Lebuh Raya Kuala Lumpur–Kuala Selangor (Latar) dan Lebuh Raya Utara-Selatan dari Behrang ke Plaza Tol Jalan Duta juga ternyata stabil serta meyakinkan.

Teruja prestasi enjin

Kelajuan bukanlah kelebihannya. Nama pun cruiser, maka lebih kepada tunggangan santai. Namun tidak bermakna enjin 471 cc kembar selari dengan sistem penyejukan cecair ini tidak ada umph.

Paling mengujakan adalah pertukaran gear 6-kelajuan dirasakan cukup ‘lembut, hampir tiada hentakan seolah-olah dipasang enjin transmisi automatik. Mungkin itulah kelebihan enjin Honda, tidak kiralah motosikal atau kereta keluarannya.

Sesuaikah sebagai pengulang-alik harian?

Memang sesuai sebagai pengangkutan ha­rian ke tempat kerja, sama ada di dalam bandar atau jarak sederhana jauh. Segala suis untuk lampu utama, lampu isyarat, hon, penghidup enjin mudah dipetik dengan kedua-dua ibu jari tangan.

Sesekali berkonvoi pada hujung minggu bersama kawan-kawan pun tiada masalah berikutan kedudukan bar hendal dan posisi penunggang yang santai tidak meletihkan untuk perjalanan jauh.

Bagi yang kreatif, ia juga boleh diubah suai menjadi custom bike. Pada harga RM31,798, jentera ini adalah mampu milik jika diban­dingkan kualitinya yang tidak keterlaluan kalau penulis berikan markah sama par dengan jenama yang lebih mahal. Rebel 500 didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu Gra­phite Black (hitam), Mat Armored Silver Metalic (perak) dan Millennium Red (merah).