Selepas era melombong bijih timah berlalu, Bidor dikenali pula sebagai sebuah pekan yang popular dengan hasil jambu batu.

Selain itu, tiada apa-apa yang menjadi faktor penarik untuk penduduk tempatan khususnya anak-anak muda kekal tinggal di Bidor sehinggalah wujudnya Loji Janakuasa Solar yang diusahakan oleh Gading Kencana Development Sdn. Bhd., (GKDSB).

GKDSB merupakan sebuah syarikat milik bumiputera sepenuhnya dan Loji Janakuasa Solar yang beroperasi di Kampung Pasir, Jalan Bidor- Teluk Intan sejak November tahun lepas, berkeupayaan menjana 30 mega wat (MC) AW serta menjana tenaga elektrik sebanyak 54,000 MWh setahun.

DATUK IR. GUNTOR TOBENG
DATUK IR. GUNTOR TOBENG 

Loji Janakuasa Solar GKDSB juga mampu membekalkan tenaga kepada 20,000 isi rumah yang mana dalam erti kata lain, penggunaan solar dapat mengurangkan perlepasan karbon (CO2) pada kadar 760 juta tan ke udara dalam tempoh 21 tahun.

Untuk rekod, beroperasinya Loji Janakuasa Solar Bidor ini telah mencipta sejarahnya yang tersendiri di bidang kejuruteraan negara kerana ia pertama kali di Malaysia yang menyambung ke 132 KV grid kebangsaan tenaga solar.

Sebelum ini, pada tahun 2014, GKDSB telah mengendalikan ladang solar di Ayer Keroh, Melaka dengan kapasiti pengeluaran 8 MW.

LADANG SOLAR

LADANG solar milik syarikat Gading Kencana Development Sdn. Bhd. (GKDSB) yang beroperasi di Bidor, Perak, sejak November 2018. - UTUSAN ONLINE

Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Ir. Guntor Tobeng, apabila syarikatnya berjaya mengubah landskap Bidor menjadi sebuah mukim yang bersifat industri dan bukan lagi bersifat tradisional, ladang solar berkeluasan 98 ekar (bersamaan dengan hampir 40 hektar) di lokasi Batu 4, Kampung Pasir ini berjaya mencipta peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

"GKDSB sebenarnya mempunyai 25 tahun pengalaman dalam industri pembekalan solar dan selain di Bidor, kita juga mempunyai ladang solar seluas 17.1 ekar di Melaka yang membekalkan 8 MW.

"Di Bidor, banyak bekas tapak lombong bijih timah yang boleh dilakukan sesuatu. Kita timbus dan kita bina ladang solar dan apabila kita berjaya lakukan ini, GKDSB mampu mencipta peluang pekerjaan kepada 70 peratus pekerja tenaga mahir dan 30 peratus lagi, tenaga bukan mahir yang diisi oleh anak-anak tempatan," katanya kepada Utusan Online.

Berasaskan kepada panel solar, GKDSB menyasarkan untuk memperkenalkan rumah kediaman atau residensi yang menggunakan bumbung solar di Perak.

"Projek pilot Program Rumah Kediaman Solar direncanakan bermula pada tahun ini dan kita telah pun mengenal pasti pemaju perumahan yang akan membina kawasan residensi solar.

"Tempoh pembinaan rumah kediaman bercirikan bumbung solar hanya mengambil masa 15 bulan sahaja dan lokasinya juga telah dikenalpasti iaitu di Behrang.

"Jika tiada aral melintang, kawasan seluas 50 ekar akan dibangunkan bersama syarikat pemaju perumahan Perak," jelasnya.

LADANG SOLAR

DATUK Ir. Guntor Tobeng dan Datin Hasnah Awang bersama sebahagian daripada kakitangan yang memantau penyerapan tenaga matahari untuk panel solar di bilik kawalan, Loji Janakuasa Solar di Bidor, Perak. - UTUSAN ONLINE

Menurut Guntor, GKDSB melabur RM200 juta untuk pembinaan 300 unit rumah kediaman yang mampu milik dalam jangkauan harga RM300,000 seunit dengan pembekalan 30 MW ke atas 88 panel bumbung rumah yang menggunakan kuasa solar.

"Pembinaan rumah kediaman yang menggunakan bumbung panel solar ini kelak tetap mengekalkan ciri-ciri rumah Melayu asal iaitu dibina dua tingkat," katanya.

Guntur juga berkata, projek pilot residensi itu mendapat kerjasama daripada Lembaga Perumahan Hartanah Perak (LPHP) dan fungsi penggunaan panel solar mempunyai tempoh hayat selama 35 tahun. - UTUSAN ONLINE