Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, setakat ini dianggarkan lebih 700 usahawan desa yang menghasilkan pelbagai jenis produk inovatif berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, pihaknya mahu para usahawan desa bukan hanya berjaya di peringkat kampung atau negeri sebalik­nya mampu mengeksport produk ke luar negara dan untuk itu mereka perlu mematuhi tahap piawaian yang ditetapkan.

“Apabila kita cuba membawa para usahawan desa ini ke pe­ringkat global, mereka perlu mematuhi tahap piawaian dan ini secara tidak langsung membantu meningkatkan kemahiran mereka dalam ilmu teknologi usahawan.

“Untuk itu kerajaan berharap para usahawan luar bandar ini dapat bersama menyertai pelbagai lagi ekspo termasuk di luar negara bagi mengutip pe­ngalaman seterusnya menjadi motivasi dan inspirasi kepada mereka untuk memasarkan produk ke tahap global,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mewakili dan membacakan teks timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika merasmikan Ekspo Inovasi dan Teknologi Keusahawanan Desa (Inotekdesa) 2018 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Ekspo yang julung kali dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berlangsung selama empat hari di MITC bermula 15 November hingga esok.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee mewakili Ketua Menteri Melaka, adly Zahari; Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Ewon Benedick dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus.

Rina berkata, kerajaan menerusi pelbagai agensi se­perti MARA dan agensi-agensi pembangunan wilayah antaranya Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) akan bekerjasama dalam menyediakan peluang perniagaan dan bantuan pinjaman bagi membantu usahawan luar bandar.

Sementara itu beliau memberitahu, KPLB akan menjadikan 201 buah Pusat Komuniti Desa (PKD) yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) sebagai hab pengumpulan produk-produk inovasi usahawan luar bandar untuk diko­mersialkan ke peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, PKD akan men­­jadi pusat pengumpulan produk, galeri pameran dan pemasaran barangan tempatan untuk usahawan desa yang menjalankan perniagaan secara dalam talian sebagai hab untuk dipasarkan ke peringkat global.